Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kabinet diminta mempertimbangkan permintaan pelancong Iran supaya memanjangkan tempoh mereka berada di negara ini daripada 14 hari kepada tiga bulan seperti sebelumnya.

Menteri Kebudayaan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebelum ini pelancong Iran diberikan tempoh sehingga tiga bulan tetapi kini dipendekkan kepada 14 hari atas sebab tertentu.

“Pelancong Iran antara kelompok pelancong dari Asia Barat yang paling ramai berkunjung ke negara ini.

“Mereka (pelancong Iran) berminat untuk tinggal lama sikit dan mahu tempoh berkenaan dipanjangkan seperti sebelumnya.

“Mungkin ada yang membuat salah tetapi bukan semuanya begitu dan saya harap rakan Kabinet dapat menimbangkan perkara ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Ariffin (BN-Rompin) di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai aliran kemasukan pelancong dari Asia Barat ke negara ini terutama ke Pahang, Mohamed Nazri berkata, ia stabil sejak dua tahun lalu.

Katanya, sambutan yang diterima masih memberangsangkan meskipun terdapat sedikit penurunan.

“Tahun lalu, jumlah pelancong dari Asia Barat ke Pahang berjumlah 2.3 juta orang tetapi ia turun sedikit berbanding 2.4 juta orang pada tahun sebelumnya.

“Kita harap Pahang dan semua negeri lain akan meningkatkan lagi promosi pelancongan masing-masing untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 9:51 AM