Alson menunjukkan gambar Peony  yang terkorban ketika  mendaki  Gunung Kinabalu.
Alson menunjukkan gambar Peony yang terkorban ketika mendaki Gunung Kinabalu.

Kuala Lumpur: “Saya menyesal mengizinkan dia menyertai aktiviti mendaki Gunung Kinabalu dan kini kami sudah kehilangannya,” kata Alson Wee, 51, bapa kepada murid Sekolah Rendah Tanjong Katong, Singapura, Wee Ying Ping Peony, 12, yang terkorban selepas gempa bumi berskala 5.9 magnitud melanda Sabah, Jumaat lalu.

Memetik laporan The Straits Times, Alson berkata, pada mulanya dia dan isteri sudah tidak sedap hati untuk membenarkan anak perempuannya itu menyertai aktiviti berkenaan bagaimanapun selepas didesak anaknya mereka akhirnya terpaksa mengalah.

“Kami tiada pilihan selain membenarkan anak menyertai pendakian itu berikutan mendiang sangat menyukai aktiviti lasak.

“Selain itu, kami berpendapat aktiviti itu terlalu lasak dan tidak bersesuaian dengan usia mereka, malah Peony bakal menduduki peperiksaan yang masih berbaki dua bulan,” katanya.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai tragedi menimpa anaknya selepas menerima panggilan daripada Guru Besar SRTK, Caroline Wu yang memaklumkan kematian anaknya pada jam 3 pagi, kelmarin.

“Saya tahu pendakian di gunung berkenaan tidak mudah dan dia tidak sepatutnya menyertai aktiviti itu.

“Bagaimanapun, Peony cuba meyakinkan kami dengan mengatakan terdapat beberapa guru yang akan menemani mereka,” katanya.

Katanya, dia pernah menghalang anaknya itu untuk mengikuti rombongan sekolah ke Taiwan beberapa tahun lalu dan tidak sepatutnya mengecewakan lagi anaknya itu.

“Saya akhirnya membenarkan dia pergi dengan bayaran RM1,661 (USD600),” katanya.

Menceritakan perwatakan anaknya itu, Peony adalah anak yang sangat taat selain suka membantu ibunya menjaga adik yang lain.

“Apabila kanak-kanak terlalu teruja mereka tidak menghiraukan bahaya, dan kini kami sudah kehilangannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:06 AM