BERNAMA

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia perlu terus mempertahankan kestabilan dan perpaduan negara bagi memastikan Malaysia akan terus mengecapi kemajuan dan kemakmuran secara berterusan, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Beta berasa amat prihatin dengan pelbagai cabaran dan beberapa isu yang sedang kita hadapi pada ketika ini.

“Antaranya, ada bibit perpecahan yang diapi-apikan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab,” titah Tuanku Abdul Halim dalam ucapan sempena sambutan Hari Keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam semalam.

Baginda bertitah bukan mudah untuk membina kesatuan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, namun jika tidak dijaga semua perkara mungkin hilang dalam sekelip mata.

Malaysia, titah baginda juga harus mengambil iktibar daripada kekacauan serta kemelut yang berlaku di beberapa negara di dunia sama ada dari sudut politik, persengketaan antara kaum mahupun pelbagai gejala negatif yang boleh memporak-perandakan keadaan.

Ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut hari ini.

Tuanku Abdul Halim turut melahirkan kebimbangan jika masalah seumpama itu tidak dibendung dan ditangani segera, dikhuatiri boleh merebak ke negara ini.

“Maka akan runtuh keharmonian masyarakat dan bangsa. Umumnya pula akan jatuh tamadun manusia yang dibina selama ini,” titah baginda.

Baginda bertitah seluruh anggota masyarakat haruslah berganding bahu dan mengambil inisiatif untuk membendung perkara itu secara kolektif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 6:32 AM