Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: “Isteri untuk disayangi, bukannya dipukul. Jika tidak sayang lagi, lepaskanlah.” Demikian nasihat Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Noor di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap K Tharmalingam, 42, pemandu teksi, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya di rumah mereka di Taman Megah, Kepong, bulan lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang mempunyai dua anak itu menjalani hukuman bermula semalam.

Selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Nur’Aminahtul turut menyoal Tharmalingam mengapa dia sanggup memukul wanita yang melahirkan dua anak untuknya, namun tiada jawapan yang jelas diberikan lelaki itu.

“Kamu boleh pukul isteri, tapi tidak boleh pula bercakap dengan kuat,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tharmalingam didakwa melakukan kesalahan itu jam 3.30 petang pada 10 April lalu di sebuah pangsapuri di Jalan Udang Harimau, Taman Megah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa bergaduh dengan tertuduh sebelum lelaki itu memukulnya dengan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:15 AM