Oleh Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan tidak menamatkan perkhidmatan 100,000 penjawat awam berstatus kontrak seperti yang dicadangkan untuk ditamatkan perkhidmatan mereka pada 31 Disember ini.

Presidennya, Datuk Azih Musa berkata, keputusan kerajaan itu menimbulkan kebimbangan kepada mereka ditambah dengan bebanan serta peningkatan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Seramai 100,000 kakitangan awam berstatus kontrak itu sebelum ini dilantik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan sudah banyak berjasa kepada kerajaan, malah prestasi mereka setaraf kakitangan tetap.

“Golongan ini juga mempunyai komitmen seperti pinjaman perumahan dan kereta, jadi kerajaan harus membantu golongan ini sehingga mereka mendapat pekerjaan sesuai dan untuk itu, prinsip keadilan perlu ada supaya kerajaan lebih mengiktiraf perkhidmatan kakitangan terbabit,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ketua Polis Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 7:07 AM