Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Kerajaan juga Filipina perlu bertanggungjawab terhadap kes penculikan dan jenayah rentas sempadan yang berlaku di pantai timur Sabah berikutan gagal mengekang pencerobohan kumpulan terbabit ke perairan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak berkuasa negara berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi menyekat sebarang pergerakan kumpulan penjenayah yang sering melakukan onar di sekitar pantai timur negeri ini, sekali gus mampu mengelak kes penculikan berulang pada masa hadapan.

“Saya akan membincangkan perkara ini bersama rakan sejawat di Filipina dalam tempoh terdekat selain menggesa mereka melakukan sesuatu kerana ancaman jenayah ini berpunca dari selatan Filipina yang menceroboh masuk ke daerah ini.

“Saya percaya mereka juga perlu bertanggungjawab termasuk mengambil langkah drastik dalam memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Khalid berkata, pihak berkuasa negara berkenaan perlu melakukan sesuatu termasuk menyekat kumpulan haram itu daripada terus menceroboh negara ini dan melakukan jenayah.

“Walaupun polis sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di sempadan negara yang kelihatan rapuh, namun ini bukan alasan buat mereka untuk tidak mengambil peduli dengan senario berlaku.

“Mereka perlu melipat gandakan usaha dalam memastikan kumpulan (penjenayah) ini lenyap dan perkara ini kita serahkan kepada mereka (untuk menyelesaikannya).

“Kita mahu satu tindakan yang benar-benar memberi impak supaya kumpulan ini tidak terus menjadikan rakyat dan pelancong ke negara ini sebagai sasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid enggan memberi perincian mengenai kes dua rakyat tempatan, Thien Nyuk Fun, 50 dan Bernard Then, 39, yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei lalu, atas faktor keselamatan.

“Apabila berlaku kes seperti ini, eloklah kita tidak memperincikan setiap tindakan polis kerana membabitkan keselamatan mangsa.

“Polis sedang menjejaki dalang ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati bersekongkol dengan mereka (kumpulan penculik),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:53 AM