NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua kiri) bersama isteri Datin Seri Fatmawati Saidin (dua dari kanan) bersama Wan Ainuddin (kiri) dan Johan qariah, dari Pahanag, Siti Husna.
NAJIB bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua kiri) bersama isteri Datin Seri Fatmawati Saidin (dua dari kanan) bersama Wan Ainuddin (kiri) dan Johan qariah, dari Pahanag, Siti Husna.

Kuala Lumpur: Meskipun mengalami masalah sakit tekak yang sedikit menjejaskan mutu suara, ia tidak menghalang qari Kelantan, Wan Ainuddin Hilmi memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan lancar dengan taranum yang baik.

Keadaan itu sekali gus menobatkan beliau johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58, kelmarin.

Berusia 32 tahun dan imam Masjid Tun Abdul Aziz di Seksyen 14, Petaling Jaya itu menganggap kemenangan diraih suatu anugerah dan akan terus memperbaiki mutu bacaannya.

Pemenang kategori qariah, Siti Husna Hassan pula bersyukur dengan kemenangan itu memandangkan peserta lain juga tidak kurang hebatnya.

Anak sulung dari enam beradik itu turut berkongsi tip bagi membolehkan beliau membaca ayat al-Quran dengan lancar iaitu mengamalkan membaca al-Quran pada waktu pagi.

Biarpun baru berusia 23 tahun, pelajar jurusan Teknologi Makmal Perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpendapat usia bukan penghalang untuk muncul johan.

“Saya akan buat yang terbaik pada peringkat antarabangsa nanti kerana ia peluang julung kali buat dirinya,” katanya yang kini sedang menjalani kursus jangka pendek Sijil Tinggi Taranum Al-Quran (STTQ) di Darul Quran, Kuala Kubu Baru di sini.

Mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, sebuah Proton Preve, piala pusingan serta pakej menunaikan fardu Haji, cenderamata dan sijil penyertaan.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 8:06 AM