TENGKU Adnan (di belakang tiga dari kiri) bersama Ahmad Phesal melancarkan buku panduan ‘Discovery Malaysia by Bicycle’ pada program ‘KL Car Free Morning 8th Edition’ di pekarangan DBKL.
TENGKU Adnan (di belakang tiga dari kiri) bersama Ahmad Phesal melancarkan buku panduan ‘Discovery Malaysia by Bicycle’ pada program ‘KL Car Free Morning 8th Edition’ di pekarangan DBKL.

Kuala Lumpur: Orang ramai yang menyalahgunakan laluan khas basikal di sekitar ibu negara akan dikenakan tindakan tegas termasuk kenderaan ditunda.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, papan tanda sudah diletakkan pada laluan khas itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai hak mengambil tindakan kepada mereka.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti sehingga kini adalah seperti kenderaan diletakkan sehingga menghalang laluan khas basikal itu serta motosikal yang turut menggunakannya.

Beliau berkata, laluan khas berwarna biru itu akan diwartakan secara rasmi tidak lama lagi bagi membolehkan tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap kenderaan yang tidak menghormati penunggang basikal.

“Bila diletakkan papan tanda bermaksud siapa yang ingkar akan dikenakan tindakan, baru-baru ini sebuah kereta ditunda di Brickfields atas kesalahan menghalang laluan khas itu.

“Kami akan melakukan tambahan 40 basikal untuk anggota melakukan rondaan bagi memantau salah laku dilakukan seperti minggu lalu,” katanya selepas pelancaran buku ‘Discover Malaysia By Bicycle Guidebook’ di Dataran DBKL 1, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Rashid Hasbullah dan Ketua Pengarah Tourism Datuk Mirza Mohammad Taiyib.

Sebelum itu, Ahmad Phesal dan Rashid turut melancarkan buku panduan bagi penggemar aktiviti berbasikal yang menawarkan 74 pakej pelancongan berbasikal di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:27 AM