ANDREI Tregubenko dan Olga Bolshakova. FOTO Agensi
ANDREI Tregubenko dan Olga Bolshakova. FOTO Agensi
AFP

Moscow: Pasangan pemuja syaitan, Olga Bolshakova dan Andrei Tregubenko akan didakwa atas tuduhan pembunuhan ritual.

Penyiasat Russia berkata, mereka menyiasat pasangan dari Moscow itu atas pembabitan mereka dalam sekurang-kurangnya dua pembunuhan ritual.

Jawatankuasa Penyiasat itu dalam satu kenyataan berkata, pasangan itu juga akan disiasat atas dakwaan mengedar dadah.

Pasangan itu didakwa bertemu atas minat yang sama iaitu terhadap gerakan agama dan mistik penyembahan syaitan yang membabitkan ritual mengorbankan manusia.

Menurut penyiasat, Tregubenko telah menikam seorang kenalan di sebuah hutan di wilayah utara Karelia, mahu mengorbankan wanita itu menerusi ritual.

Hasil siasatan juga mendapati pasangan itu terbabit dalam pembunuhan ritual lain di sebuah bandar di utara Saint Petersburg, bandar kedua terbesar Russia.

Mangsa kedua itu adalah seorang lelaki yang dipukul dan dibunuh dengan menggunakan pisau.

Pasukan penyiasat berkata, mayat dan pakaiannya ditemui di tempat kejadian.

Saluran berita Mash, melalui aplikasi pesanan Telegram melaporkan bahawa awal bulan ini, Bolshakova mengakui pembabitannya dalam dua pembunuhan itu.

Pasangan itu berhadapan dengan tuduhan pengedaran dadah selepas sejumlah besar dadah dijumpai di rumah mereka di pinggir bandar Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 11:08 AM