Nilai: Kementerian Pendidikan menggalakkan lebih ramai pensyarah dan ketua jabatan yang berada di universiti luar negara mengarang buku dalam bahasa Melayu sebagai penambahan ilmu kepada pelajar di universiti awam negara ini.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui penulisan dalam kepakaran atau bidang tertentu dengan menggunakan bahasa kebangsaan sudah tentu ia boleh digunakan pelajar tempatan.

“Seperti mana buku dalam bidang sains aktuari yang ditulis dalam bahasa Melayu dan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu usaha yang baik. Kita (kementerian) perlu menggalakkan pensyarah dan ketua jabatan dari universiti luar negara untuk menulis buku sedemikian.

“Malah, jalinan antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan pengarang buku adalah jalinan yang baik dan menunjukkan universiti tempatan bertaraf global sebagaimana dikatakan Perdana Menteri semasa pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), semalam (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Sains Aktuari: Dari Aktuarius ke Aktuari di USIM di sini, semalam.

Turut hadir pengarang buku berkenaan yang juga Pengarah Program Sains Aktuari, Jabatan Sains Matematik University of Essex United Kingdom, Dr Haslifah Hashim dan Naib Canselor USIM Profesor Datuk Dr Musa Ahmad.

USIM yang turut menawarkan Sarjana Muda Dengan Kepujian Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko di bawah Fakulti Sains Teknologi mempunyai 320 pelajar yang menjalin hubungan persahabatan dengan Haslifah bagi mengembangkan kerjasama strategik merentas benua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:56 AM