KEADAAN kereta dinaiki Sallyza sekeluarga selepas terbabit kemalangan.
KEADAAN kereta dinaiki Sallyza sekeluarga selepas terbabit kemalangan.
Oleh Syazwan Msar


Rompin: “Saya tidak tahu macam mana hendak beritahu cucu yang berusia dua tahun bahawa ibu bapanya sudah tiada.

“Bertambah kusut memikirkan kerana dia juga kehilangan kakak dan abang,” kata Ramlan Mihat, 54, ibu Sallyza Hakim Lukmanhakim, 32, yang maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori di di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih, berhampiran Muadzam Shah, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu turut mengorbankan suami Sallyza, Rohaizan Paimon, 38, serta dua anak mereka, Nur Allysha Adrieanna, 6, dan Muhammad Nur Irfan Danish Hakim, 4.

Lebih memilukan, Sallyza yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, sedang mengandung tujuh bulan dan dijadual bersalin anak keempatnya Jun nanti.

Ramlan berkata, ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan selepas menghantar seorang anaknya, Nurirshaneelydia Hakim, 2, di rumahnya di Kampung Parit Beting, Muar, Johor.

“Suami Sallyza akan bekerja luar kawasan selama dua minggu sebagai juruteknik minyak dan gas di Kemaman, Terengganu.

“Mereka hantar Nurirshaneelydia Hakim kepada saya untuk dijaga berikutan Sallyza sarat mengandung,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Muadzam, dekat sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 10:00 AM