Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: “Saya sudah tak larat asyik ada saja gosip. Kasihan pada ayah saya. Harap semua fahamlah,” jawab pelakon Fatimah Rohani Ismail atau Emma Maembong yang kesal apabila cerita palsu mengaitkan dirinya dengan pelakon Kamal Adli terus disebarkan di media sosial.

Emma, 23, berkata, dia tidak mahu memberikan sebarang komen lagi mengenai isu terbaru yang mendakwa kononnya berkunjung ke rumah keluarga Kamal, baru-baru ini.

Katanya, semua khabar angin yang dicetuskan secara keterlaluan itu tidak benar sama sekali.

“Saya sudah malas dan tak nak komen apa-apa lagi sekarang. Perkara (bertemu dengan keluarga Kamal) memang tak berlakulah.

“Saya sangat tak faham kenapa ramai sangat yang pandai-pandai dan suka buat cerita. Tak tahu mana mereka dengar dan apa sebab buat cerita begitu?” soalnya ketika dihubungi, semalam.

Spekulasi yang mengaitkan Emma dengan Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 29, kembali diperkatakan minggu ini susulan dakwaan yang timbul kononnya aktor itu membawa wanita berkenaan bertemu keluarga.

Timbul juga ura-ura kononnya pertemuan itu berlangsung atas tujuan untuk lebih mengenali antara kedua-dua belah pihak dengan restu keluarga.

Difahamkan, perkara itu berlaku selepas Emma mengesahkan hubungannya dengan pelawak Zizan Razak sudah berakhir.

Kamal dalam kenyataannya menafikan dakwaan itu kerana dia tidak pernah membawa Emma berjumpa keluarganya.

Kata Kamal, dia tidak pasti punca cerita berkenaan tersebar dan tidak faham mengapa dirinya menjadi sasaran gosip biarpun pernah menjelaskan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Emma.

Sebelum ini, beberapa sumber turut memaklumkan kepada Harian Metro kononnya pasangan itu bakal berkahwin pada tahun ini. Kedua-duanya menyangkal perkara berkenaan dan menganggap ia perkara mengarut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 6:00 AM