KEADAAN kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan.
KEADAAN kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan.

Kota Kinabalu: Keseronokan tiga warga Australia menikmati keindahan kawasan peranginan di Tamparuli bertukar menjadi mimpi ngeri selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter di Jalan Tuaran Lama-Kiulu berhampiran Kampung Kebayau, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.50 petang, seorang mangsa lelaki berusia 47 tahun parah di bahu manakala dua lagi ahli keluarganya masing-masing berusia 15 dan 39 tahun hanya cedera ringan.

Pemandu kenderaan MPV jenis Toyota Avanza iaitu seorang wanita berusia 44 tahun turut parah apabila tersepit di bahagian hadapan kenderaan berkenaan.

Difahamkan, keempat-empat mangsa dikatakan baru sahaja pulang dari membuat lawatan di pusat peranginan berhampiran kawasan Kiulu dan sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjatuh ke gaung sedalam 200 meter.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:32 AM