Najib berucap pada Konvensyen Umno Kedah, semalam.
Najib berucap pada Konvensyen Umno Kedah, semalam.
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Alor Setar : Individu dikenali sebagai ‘jemuan’ (berperangai buruk) yang mempunyai sifat suka mengadu domba hingga membawa kepada perselisihan sesama sendiri perlu dihapuskan di dalam UMNO jika parti itu mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO berkata, kehadiran individu seumpama itu adalah lebih teruk daripada batu ronson (penghasut) atau tukang kipas kerana mampu menggugat perpaduan sehingga boleh memecah-belahkan parti berkenaan.

Menurutnya, parti utama orang Melayu sebenarnya memiliki keupayaan untuk terus kekal berkuasa dan menang dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya individu bersifat jemuan berkenaan dapat dihapuskan atau tidak wujud di dalam UMNO sendiri.

“Golongan jemuan ini ada di sekeliling kita (ahli UMNO) sehingga kita berselisih faham dan diperbesarkan, sekali gus mengugat perpaduan dalam UMNO.

“Cuba cari mereka (jemuan) dalam kalangan kita kerana jika mereka tiada pasti UMNO atau BN (Barisan Nasional) boleh menang (dalam pilihan raya umum akan datang) di Kedah.

“Ini mesej penting saya kerana kita perlu bersatu dengan semangat sepasukan. Insya-Allah UMNO akan menang, tetapi perlu bersatu dan bersepakat kerana kita tidak akan berjaya jika berpecah-belah atau berbalah mahupun bersengketa sesama sendiri yang tidak membawa kebaikan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Kedah yang berlangsung selama dua hari di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Najib berkata, pada masa sama, UMNO Kedah perlu mengekalkan kebangkitan dengan kekuatan baru menerusi penyusunan strategi untuk terus relevan, sekali gus kekal menjadi parti pemerintah di negeri berkenaan.

Menurutnya, parti berkenaan seharusnya memantapkan permuafakatan, selain sentiasa memiliki semangat kerja berpasukan dan dekat di hati rakyat dengan berusaha mengurangkan masalah dalaman, jangan cantas mencantas di samping tidak berlaku perpecahan sesama sendiri.

“Kita (UMNO Kedah) harus juga melihat punca kekuatan (dan), apakah faktor menyebabkan kita boleh bangkit daripada kekalahan (Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

“Bagaimana kita boleh bangun daripada mimpi dan pengalaman ngeri apabila bangkit bersama kekuatan baru (menang PRU ke-13) dengan mengatur langkah ke hadapan selain melaksanakan strategi tepat sehingga berjaya kembali memerintah Kedah.

“Kejayaan ini adalah kerana permuafakatan, semangat sepasukan, kurangkan permasalahan dalaman, jangan cantas mencantas antara satu sama lain sehingga wujud dua pasukan dalam bahagian. Malah, kita perlu menjadikan faktor penolakan oleh rakyat kepada kerajaan terdahulu (PAS) sebagai ikhtibar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:33 AM