MATRANG  menampal poster kempen Jangan Jual atau Beli Rokok Seludup selepas melancarkan Op Pacak di Pasar Besar Kuantan, sambil diperhatikan Sarip (dua dari kiri).
MATRANG menampal poster kempen Jangan Jual atau Beli Rokok Seludup selepas melancarkan Op Pacak di Pasar Besar Kuantan, sambil diperhatikan Sarip (dua dari kiri).
Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Jangan Jual atau Beli Rokok Seludup. Kalau ada maklumat lapor segera kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Itu kempen terbaru Op Pacak yang dilancarkan di Kuantan, Pahang yang kini dalam pemantauan pihak berkuasa berkenaan berikutan wujudnya kegiatan penjualan rokok seludup menggunakan motosikal seperti di Sabah yang dilakukan warga Filipina.

Malah, bagi mencapai objektif operasi JKDM juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa depan dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan telus.

Setakat ini, sebanyak 33.6 peratus rokok dan 30 peratus minuman keras di pasaran tidak mendapat kelulusan JKDM menyebabkan negara mengalami kerugian hampir RM2 bilion setiap tahun akibat kehilangan hasil cukai iaitu RM1.9 bilion untuk rokok dan RM500 juta untuk minuman keras.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, dua komoditi itu antara penyumbang terbesar hasil cukai negara, namun kegiatan penyeludupan yang didorong permintaan menyebabkan negara kerugian besar.

Katanya, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana ia bukan saja merugikan, malah mengancam keselamatan negara apabila membuka ruang kepada sindiket penyeludupan menjadikan Malaysia sebagai pusat lambakan rokok dan arak seludup.

“Pihak JKDM sudah melancarkan Op Outlet sejak Februari 2010 sehingga kini dan sebagai kesinambungan operasi ini, kami melancarkan Op Pacak, khusus memberikan tumpuan kepada usaha mengekang penyeludupan dan penjualan pelbagai jenis rokok seludup.

“Bagi memastikan Op Pacak mencapai objektifnya, kita menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Pacak peringkat negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKDM Pahang Datuk Sarip Ismail dan Pengarah KPDNKK Pahang Shahrudin Jali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:25 AM