Kuala Lumpur: Tiga sekeluarga menempuh detik hitam apabila ‘ditawan’ hampir 30 minit oleh enam penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Setapak, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, keluarga terbabit dilapor kerugian lebih RM5,000 selepas wang tunai, jam tangan dan barang kemas dilarikan suspek.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa berusia 31 tahun bersama bapa dan ibunya berusia 50-an sedang tidur.

“Mereka dikejutkan dengan kehadiran enam lelaki bersenjatakan parang yang masuk ke rumah berkenaan.

“Tiga beranak itu hanya mendiamkan diri kerana bimbang dicederakan. Keluarga itu juga dilapor gagal mengecam wajah suspek kerana memakai topeng,” katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, kumpulan terbabit dilapor mengumpulkan mangsa di dalam sebuah bilik dan dikawal seorang penjenayah.

“Semua mangsa diikat selain diugut bunuh sekiranya membuat bising atau melawan.

“Lima lagi suspek dilapor menggeledah rumah untuk mencari barangan berharga,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir 30 minit menjadi ‘tawanan’, kumpulan perompak itu bergegas meninggalkan rumah berkenaan.

“Mangsa berjaya membuka ikatan sebelumpil membuat laporan di Balai Polis Setapak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:52 AM