ROHANI (tengah) bersama Pengarah Pemasaran Kanan Colgate-Palmolive Malaysia Datin Nor Aziah beramah mesra dengan pelajar sekolah, semalam.
ROHANI (tengah) bersama Pengarah Pemasaran Kanan Colgate-Palmolive Malaysia Datin Nor Aziah beramah mesra dengan pelajar sekolah, semalam.

Putrajaya: Ibu bapa gadis berumur 14 tahun yang cuba menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria enggan menjalani sesi kaunseling kerana berasakan tidak bersalah dalam hal itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya akan memberi kaunseling sekiranya mereka sudah bersedia.

Katanya, mengikut prosedur ditetapkan, kaunselor tidak boleh memberi kaunseling jika mereka (ibu bapa) tidak mahu atau belum bersedia.

“Kementerian sudah berjumpa dengan keluarga gadis berkenaan, tetapi mereka enggan memberi kerjasama dan tidak memberi apa-apa maklum balas positif.

“Kita beranggapan, mungkin isu ini masih panas dan menjadi bualan orang ramai, jadi keluarga bimbang berkongsi masalah dengan orang lain kerana takut kita memberi kerjasama kepada polis.

“Tetapi, jika mereka sudah bersedia, kita tiada masalah untuk memberi bantuan dalam apa jua keadaan,” katanya pada sidang media selepas majlis Mari Beramal Bersama Colgate, di kementeriannya, di sini semalam.

Rohani berkata, ibu bapa perlu mengambil berat keadaan anak mereka serta peka dengan apa yang dilakukan bersama rakan.

“Ambil tahu ke mana mereka pergi, siapa rakan mereka dan apa dilakukan walaupun mereka belajar di universiti kerana kita tidak mahu perkara seperti ini berulang.

“Malah, ibu bapa seharusnya peka dengan apa yang diceritakan anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:11 AM