TIGA daripada lima tertuduh yang dipercayai terbabit kes culik.
TIGA daripada lima tertuduh yang dipercayai terbabit kes culik.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Klang: Dua remaja lelaki berusia 17 tahun antara lima yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di rumahnya dalam kejadian 22 Januari lalu.

Selain dua remaja bawah umur itu, tiga lelaki lain yang dihadapkan ke mahkamah adalah Mohammad Norhafizie Abdullah, 18, Mohammad Faiderus Suhaini, 32, dan Nashamizie Shahidan, 19.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa menculik kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan wang tebusan RM200,000, AS$100,000 (RM359,519) dan AUD100,000 (RM279,790) di Taman Sentosa, Klang, pada jam 1.52 pagi, 22 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan sebatan.

Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad, semua tertuduh mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:32 AM