Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik dan mengurung seorang jurujual serta meminta wang tebusan lebih RM1.12 juta, April lalu.

Tertuduh, Suhaimi Mat Zin, 41, Wong Guo Song, 33, Yong Zi Hui, 25, Zulkarnain Ramli, 46, dan Muhammad Azam Hatan, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh. Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama dengan individu masih bebas, menahan, abduksi (menculik) dan mengurung Lau Jia Kin, 39, di Jalan Mesra Ria, Brickfields pada jam 10.30 malam, 29 April lalu untuk mendapatkan wang tebusan RM1,125,550.

LIMA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik dan mengurung seorang lelaki. FOTO Asyraf Hamzah
LIMA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik dan mengurung seorang lelaki. FOTO Asyraf Hamzah

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan boleh dihukum di bawah akta dan seksyen sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan,

manakala hanya tertuduh kelima iaitu Muhammad Azam tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 2:58 PM