CHRISTINE mewakili suaminya menerima  replika kunci daripda Jalil.
CHRISTINE mewakili suaminya menerima replika kunci daripda Jalil.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Hobi mengunjungi pameran kereta memberi ganjaran bermakna kepada seorang pengurus jualan dari Petaling Jaya, Selangor apabila memenangi cabutan bertuah sempena penganjuran NST Autoshow di Matrade, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, pada 14 hingga 16 November lalu.

Eric Goh, 32, mengalahkan 7,000 peserta lain untuk membawa pulang hadiah utama sebuah Proton Saga SV bernilai RM35,000.

Isterinya, Christine Chong, 31, yang mewakili Goh berkata, kemenangan itu di luar jangkaan kerana suaminya menyertai cabutan bertuah itu sekadar suka-suka saja.

“Suami memang terkejut dan teruja apabila dimaklumkan mengenai kemenangan ini, namun dia tidak dapat hadir kerana berada di Jepun atas urusan perniagaan.

“Kemenangan ini adalah hadiah cukup bermakna sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah NST Autoshow di Balai Berita, di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Datuk Abdul Jalil Hamid.

Hadir sama Pengarang Cars, Bikes & Trucks New Straits Times merangkap pengerusi penganjur Yamin Vong, Pengarah Transformasi PROTON Holding Berhad Mohd Khalid Yusof, Penolong Pengurus Besar Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd Awalludin Mohd Lip serta Timbalan Pengurus Besar Ketua Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Edaran MODENAS Zaini Haron.

Tempat kedua dimenangi Wong Sieh Lung, 20, dari Kuala Lumpur yang menerima hadiah sebuah motosikal Kawasaki D Tracker 150 bernilai RM10,000.

R Bahma dari Klang, Selangor pula di tempat ketiga dan membawa pulang sebuah motosikal Modenas MR1 berharga RM3,500 manakala R Ganesan dari Perak di tempat keempat dengan menerima hadiah sebuah jam tangan Ferrari eksklusif.

Katanya, pameran kali ini bakal diadakan di Pusat Pameran MINES, di sini, bermula 12 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:38 AM