Melaka: Program Pemutihan Tambahan dan Ubahsuai Bangunan Kediaman akan dilaksanakan di semua taman perumahan di dalam kawasan seliaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman berkata, program secara berperingkat itu akan bermula di Taman Gadong Perdana, di sini.

Katanya, ia bertujuan melakukan pemutihan terhadap kediaman yang melakukan penambahan dan pengubahsuaian tanpa mendapat kelulusan daripada MBMB sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui program ini, pemilik rumah ditawarkan potongan kos pengubahsuaian kediaman yang dilakukan tanpa kelulusan dan ia juga menjadi kelonggaran syarat bagi rumah yang tidak mempunyai pelan kelulusan PBT.

“Manakala, proses pelan pula dibantu MBMB dan perunding dilantik mengikut dasar serta peruntukan undang-undang secara khusus serta ia akan diterangkan dengan terperinci oleh Pengarah Kawalan Bangunan, MBMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Dialog Program Pemutihan Tambahan dan Ubahsuai di Taman Gadong Perdana, di sini, kelmarin. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Sazali Muhd Din dan Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin.

Ismail berkata, program itu juga bertujuan memastikan tahap keselamatan sentiasa dipatuhi selain bagi menjamin keselesaan penduduk ketika projek penambahan dan pengubahsuaian kediaman dijalankan.

Katanya, Taman Gadong Perdana mempunyai 898 unit kediaman yang mana 621 unit daripadanya dikenal pasti melakukan pengubahsuaian dan penambahan tanpa kelulusan.

“Sehingga kini, terdapat 384 pemilik kediaman bersetuju membuat permohonan kelulusan pelan melalui program ini.

“Melalui program ini, mereka hanya perlu membayar RM470 berbanding RM2,400 kos asal pengubahsuaian, manakala RM220 untuk kerja penambahan sengkuap berbanding kadar asal iaitu RM1,900,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:13 AM