Penduduk menggunakan jalan terhakis      yang membentuk lubang sedalam empat meter di Kampung  Tok Sadang,  Kedai Buloh, semalam.
Penduduk menggunakan jalan terhakis yang membentuk lubang sedalam empat meter di Kampung Tok Sadang, Kedai Buloh, semalam.

Kota Bharu: “Dentuman itu sungguh kuat sehingga menggegarkan rumah,” kata ibu tunggal, Kiah Yusoff, 57 selepas mendapan tanah sedalam empat meter berlaku berhampiran rumahnya di Kampung Tok Sadang, Kedai Buloh di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, hakisan tanah sepanjang 20 meter membentuk lubang sedalam empat meter berhampiran 50 meter dari kawasan rumahnya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menceritakan detik cemas, Piah berkata, ketika kejadian dia membasuh pinggan di dapur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumah.

“Bimbang keselamatan keluarga, saya bergegas mengejutkan ahli keluarga lain yang tidur di bilik.

“Saya keluar rumah dan terkejut melihat separuh jalan dibaiki sebelum ini kembali runtuh,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kiah berkata, tanah di tepi dan hadapan rumahnya itu runtuh bermula pertengahan Disember lalu akibat arus banjir yang deras sehingga menyebabkan dapur dan dua bilik rumahnya runtuh.

“Tanah berkenaan dibaiki dua minggu lalu, namun kelmarin ia sekali lagi runtuh.

“Belum reda dari perasaan takut, semalam (kelmarin) berlaku kejadian sama di hadapan rumah menyebabkan laluan hanya boleh dilalui motosikal,” katanya.

Ibu tunggal yang tinggal bersama anak, menantu dan tiga cucunya terpaksa tinggal di rumah berkenaan walaupun berdepan risiko kerana tiada pilihan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:06 AM