Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: “Hati saya sebak bercampur marah tatkala melihat tubuh anak kecil saya dipenuhi bekas gigitan dan cakar dipercayai akibat didera ketika dihantar ke sebuah pusat jagaan kanak-kanak,” kata Nazira Noran, 35.

Dia yang juga seorang juruhebah sebuah stesen radio mengesyaki anaknya, Muhammad Qolbi Muhammad Farid berusia setahun lapan bulan didera selepas suami mengambil anaknya itu dari taska yang terletak di Petaling Jaya, petang Khamis lalu.

“Saya mengesyaki anak saya ini didera selepas terdapat kesan gigitan, cakaran serta lebam pada kedua lengan, tangan dan dahinya.

“Ketika menghantar Muhammad Qolbi ke taska pada sebelah pagi, memang tiada lagi kesan itu. Saya perasan kesan lebam dan cakar itu bukannya dari kanak-kanak, tetapi dibuat orang dewasa,” katanya.

Nazira berkata, dia dan suami kemudian minta penjelasan daripada seorang pekerja taska berkenaan, namun dia memberi alasan tidak menyedari kejadian itu.

“Saya boleh menerima sekiranya kesan gigitan itu berpunca daripada kanak-kanak, tetapi ia kesan cakar membabitkan kuku milik orang dewasa.

“Selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan pihak taska, saya membawa anak ke pusat perubatan swasta di Kota Damansara,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan beberapa kesan terdapat pada tangan dan dahi anaknya itu adalah perbuatan orang dewasa.

“Namun, disebabkan pusat perubatan swasta itu tidak boleh mengeluarkan sebarang surat berhubung kejadian itu, saya terpaksa merujuk perkara ini ke hospital kerajaan.

“Semalam, saya membawa anak ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan dan dijangka keputusan akan dikeluarkan Selasa depan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Nazira turut membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara Jumaat lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes berkenaan juga sudah dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 8:27 AM