Tumbuhan herba mempunyai banyak manfaat untuk makanan dan kesihatan. Tidak hairan, ramai menanam tumbuhan itu sama ada di rumah atau sekolah.

Pendedahan awal pelajar kepada tumbuhan herba amat penting supaya mereka mempunyai ilmu untuk menggunakan tumbuhan itu apabila dewasa.

Lengkuas misalnya sering digunakan sebagai bahan untuk menambah rasa makanan, tetapi tumbuhan itu juga mempunyai khasiat bagi mengekalkan keremajaan kulit.

Lengkuas mengurang­kan kerosakan sel badan yang disebabkan radikal bebas dalam badan. Dengan itu, kulit kekal sihat jika digunakan berterusan.

Limau purut pula mengandungi asid sitrik semula jadi yang membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Ia merawat kulit kepala, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah.

Limau purut membantu mencuci kulit kepala yang gatal dan berkelemumur. Air rebusan daun limau purut memberikan kesegaran badan dan mengurang­kan keletihan.

Serai sering digunakan dalam masakan dan pembuatan minyak wangi. Ia mengandungi elemen detoksifikasi yang membantu mengeluarkan toksin dalam badan, seterusnya menurunkan berat badan.

Selain itu, ia juga dapat membantu melancarkan pembuangan air kecil.

Halia digunakan untuk menghilangkan angin di dalam perut, pening kepala dan cirit birit. Bahan aktif di dalam halia iaitu gingeroles bertanggungjawab untuk memberi kesan perubatan apabila ia meresap ke dalam badan.

Sekolah boleh memanfaatkan kawasan taman untuk tumbuhan herba itu kerana nilai komersial yang tinggi masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM