VAKSIN Covid-19 Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Pfizer. FOTO fail AFP
AFP

The Hague: Kesatuan Eropah (EU) meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Kebenaran suntikan pertama itu diluluskan tepat pada masanya ketika virus berkenaan menular pantas di seluruh negara.
Sebelum ini hanya beberapa negara memberikan persetujuan suntikan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak termasuk Amerika Syarikat, Israel dan Kanada.

Ketua Strategi Vaksin Agensi Perubatan Eropah (EMA), Marco Cavaleri berkata, dos yang digunakan untuk golongan itu lebih rendah daripada dewasa.

"Saya gembira memaklumkan, mulai hari ini, Comirnaty mendapat kelulusan untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun.

"Ia dos yang berbeza yang digunakan orang dewasa, malah lebih rendah daripada itu," katanya dalam satu mesyuarat terbuka dalam talian.

Vaksin berkenaan diluluskan untuk digunakan untuk golongan berusia 12 tahun di seluruh 27 negara EU.

EMA dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan diberikan satu pertiga daripada dos orang dewasa.

Katanya, golongan itu juga akan menerima dua suntikan dalam tempoh selang tiga minggu.

Badan itu berkata, keputusan itu selari dengan satu kajian ke atas 2,000 kanak-kanak dari kumpulan umur itu menunjukkan vaksin memberikan 90.7 peratus lebih berkesan.

Kesan sampingan biasanya ringan atau sederhana dalam tempoh beberapa hari termasuk sakit di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot dan menggigil.

EMA membuat kesimpulan itu, Comirnaty digunakan ke atas kanak-kanak usia berkenaan mempunyai lebih manfaat berbanding risiko terutama mereka yang mempunyai risiko Covid-19 yang teruk.

Bagaimanapun badan itu berkata, keselamatan suntikan Pfizer ke atas kanak-kanak itu akan terus dipantau dan diteliti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 9:26 AM