NOOR Rashid (kanan) diiringi Mazlan (kiri) meninjau kawasan Perumahan Polis yang dipenuhi lumpur selepas banjir.
NOOR Rashid (kanan) diiringi Mazlan (kiri) meninjau kawasan Perumahan Polis yang dipenuhi lumpur selepas banjir.
Oleh Mohamed Sahidi Yusof

Tanah Merah: Proses ekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Koperal Sirul Azhar Umar yang kini ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia, mungkin mengambil masa.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, ini kerana proses itu membabitkan banyak peraturan sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.

Katanya, PDRM akan berbincang dan merujuk dengan Jabatan Peguam Negara dalam usaha membawa pulang Sirul.

“Perkara ini mengambil masa kerana sebarang tindakan perlu mengikut peraturan ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita pada peringkat membuat permohonan ekstradisi dan seterusnya bergantung kepada pihak Australia,” katanya selepas melancarkan program Gotong-Royong Perdana di Taman Kiara, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas mereka didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, Sirul gagal hadir ke mahkamah dan didapati berada di Australia.

Noor Rashid berkata, PDRM akan berusaha mengurangkan segala halangan dan kesukaran yang mungkin dihadapi ketika proses ekstradisi Sirul ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:41 AM