SAIFUL Aflizan diiringi keluar dari Mahkamah Majistret, semalam.
SAIFUL Aflizan diiringi keluar dari Mahkamah Majistret, semalam.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Tindakan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mencederakan seorang remaja di sebuah surau pada Sabtu lalu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Saiful Aflizan Muhamed, 34, dari Kampung Pantai Balok, di sini, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Noor Aisah Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun menggunakan pisau sehingga menyebabkannya cedera di perut akibat terkena tikaman.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Surau Al-Hidayah, Balok Pantai, di sini, pada 3 Januari lalu jam 4.45 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Hakimie Ali.

Ketika mengemukakan rayuan, Muhammad Hakimie memohon hukuman ke atas anak guamnya diringankan memandangkan dia hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM20 sehari selain bergantung kepada elaun tugasan sebagai anggota RELA.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 7:08 AM