KESIHATAN Muhammad Izzsyraq  makin merosot.
KESIHATAN Muhammad Izzsyraq makin merosot.

Kuala Lumpur: Muhammad Izzsyraq Azraq Mohd Khizrul Rhizan, 20 bulan atau Izz yang menderita penyakit Short Bowel Syndrome (SBS) atau sindrom usus pendek perlu terus mendapatkan rawatan di hospital sehingga berusia dua setengah tahun bagi mengelak jangkitan pada tiub yang dipasang.

Ibunya, Nor Safarina Eliasod, 32, berkata, anak bongsunya yang sudah menghuni Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) lebih 400 hari itu sering diserang selesema dan batuk yang boleh menyebabkan jangkitan dalaman.

“Kami dinasihatkan doktor untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya jangkitan tidak merebak kepada tiub yang dipasang pada badannya.

“Malah, kami sangat bimbang jika kesihatan Izz makin merosot sehingga mengganggu ‘Plan 2015’ iaitu pembedahan untuk memanjangkan dan mengembangkan usus kecil Izz sehingga 16 sentimeter (sm) yang dijangka berisiko,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Semalam, muka depan Harian Metro memaparkan penderitaan Izz dipercayai antara pesakit usus terpendek di dunia berikutan hanya memiliki usus sepanjang lima sm berbanding kanak-kanak normal antara 200 hingga 300 sm.

Izz yang sudah menjalani 11 pembedahan kini terpaksa bergantung kepada Nutrisi Parenteral (TPN) bagi mendapatkan nutrien gizi makanan dan sudah ‘menetap’ di HKL lebih 400 hari.

Menurutnya, keadaan kesihatan Izz sejak semalam sangat membimbangkan kerana dia kini dijangkiti batuk, selesema dan muntah teruk.

“Kesihatan dia makin merosot dan saya begitu bimbang sekarang, mohon doa rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pakar Pediatrik dan Kardiologi Kanak-kanak Dr Yong Junina Fadzil berkata, pesakit SBS tidak berlaku secara semula jadi kerana ia disebabkan pembedahan dan ada kes disebabkan kelahiran pramatang atau usus itu sudah pecah atau cedera.

“Pesakit yang menderita SBS akan menyebabkan kegagalan fungsi untuk menyerap bahan makanan, khasiat serta zat besi yang diperlukan seseorang.

“SBS akan menyebabkan usus kecil yang dibuang mengecilkan permukaan untuk menyerap makanan, sekali gus menyebabkan individu itu kurang zat seperti kanak-kanak normal lain,” katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:01 AM