Kuala Lumpur: “Ibu tidak digalakkan menyusu bayi dengan keadaan kedua-duanya berbaring dan tidur kerana membahayakan dan boleh menyebabkan anak tercekik atau sesak nafas.

“Lebih-lebih lagi jika bayi sedang selesema menambahkan lagi risiko bayi tidak boleh bernafas sekiranya mereka menyusu dalam keadaan berbaring. Sebab itu, teknik penyusuan bayi amat penting untuk ibu ketahui bagi mengelakkan kejadian seumpama ini,” kata Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Malinee Thambyayah.

Beliau berkata, cara terbaik untuk menyusukan bayi pada tengah malam adalah dalam keadaan ibu berjaga dengan posisi yang betul ketika menyusukan bayi.

Bagaimanapun katanya, ada banyak faktor menyebabkan kematian bayi dan bukan hanya tersedak susu saja, malah kebiasaanya agak mustahil bayi normal meninggal dunia kerana tersedak susu melainkan disebabkan komplikasi lain seperti masalah jantung, paru-paru atau bayi dilahirkan tidak cukup bulan.

Ini kerana katanya, sesetengah keadaan bayi yang normal juga berisiko berdepan Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS) dan bukan hanya disebabkan tersedak susu.

“Kita tak tahu apa punca sebenarnya. Laporan bedah siasat mungkin boleh memperincikan kejadian,” katanya mengulas mengenai kes bayi berusia dua bulan yang meninggal dunia jam 5 pagi kelmarin dipercayai akibat tersedak susu di rumah mereka di Kampung Che Deris, Kota Bharu, Kelantan.

Bayi perempuan itu dikatakan diberi susu badan oleh ibunya selepas terjaga antara jam 3 dan 4 pagi, sebelum kedua-duanya tidur semula.

Beliau menasihatkan ibu bapa sentiasa berjaga-jaga dan memastikan bayi mereka benar-benar sendawa selepas diberikan susu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:58 AM