MOHAMAD Fuzi (tengah) berucap semasa Persidangan Pegawai Lesen Senjata Api.
MOHAMAD Fuzi (tengah) berucap semasa Persidangan Pegawai Lesen Senjata Api.

Johor Bahru: Polis akan mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) baru berkaitan senjata api dengan menitikberatkan aspek penguatkuasaan selain mengatasi masalah proses kelulusan yang terlalu lama sebelum ini.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, usaha berkenaan selaras dengan pembesaran Bahagian Persenjataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain peningkatan permohonan senjata api pada setiap tahun.

“Peningkatan pemohonan untuk mendapatkan lesen senjata api meningkat setiap tahun, bagaimanapun jumlahnya saya tidak boleh berikan atas faktor keselamatan.

“Saya berharap menerusi persidangan ini, satu SOP lengkap termasuk garis panduan yang wajar dilaksanakan dapat dihasilkan bagi kepentingan masyarakat dan PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Lesen Senjata Api Bukit Aman dan Kontinjen PDRM, di sini, semalam.

Menurutnya, antara yang terkandung di dalam SOP berkenaan nanti termasuk proses permohonan atau pertukaran nama pemilik senjata api oleh syarikat keselamatan serta individu.

“SOP ini akan merangkumi proses permohonan, pertukaran nama serta peraturan penggunaan senjata api membabitkan syarikat keselamatan, agensi kerajaan yang menggunakan khidmat polis bantuan serta individu,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, antara isu yang menjadi rungutan di kalangan pemohon sebelum ini adalah membabitkan tempoh permohonan lesen senjata api yang terlalu lama.

“Proses memohon lesen senjata api bermula di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah, kemudiannya permohonan itu diserahkan pula kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) sebelum Bukit Aman yang akan meluluskan atau menolak permohonan berkenaan.

“Tidak dinafikan ia terlalu lama, namun kita sedang berusaha menambah baik proses permohonan ini supaya tidak mendatangkan masalah kepada pemohon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:14 AM