Shah Alam: “Saya kecewa warden asrama itu tidak mengambil tindakan sewajarnya walaupun mengetahui kejadian pergaduhan yang mencederakan anak saya itu,” kata Noraini Jusoh, 47, ibu pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang, yang dibelasah sembilan pelajar senior sehingga patah tulang rusuk, Rabu lalu.

Menurutnya, dia juga kesal apabila warden sekolah itu turut membiarkan anaknya seharian di bilik sakit tanpa rawatan dan hanya memaklumkan kejadian itu kepadanya jam 6.30 petang kelmarin.

“Mereka membiarkan anak saya di ‘sick bay’ asrama tanpa rawatan. Apabila saya menghubungi dan bertanyakan perkara itu, mereka berikan alasan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Perkara ini perlu diambil serius pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan kerana ia membabitkan sebuah sekolah yang menempatkan pelajar cemerlang dan berdisiplin tinggi,” katanya, semalam.

Noraini berkata, anaknya mengadu dibelasah sembilan pelajar tingkatan empat dengan menggunakan seterika panas selain dipijak beramai-ramai antara jam 11 malam hingga 2.30 pagi.

Dia kemudian meminta warden sekolah itu menghantar mangsa ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang berikutan tidak dapat ke sana.

“Saya kemudian menghantar anak ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan doktor mengesahkan tulang rusuk berhampiran jantungnya patah. Mereka meletakkan anak saya di unit pemantauan untuk memastikan kecederaan itu tidak terkena jantung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:32 AM