Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sudah mengarahkan Kementerian Kesihatan untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam usaha mencegah penularan wabak Ebola di negara ini.

Perdana Menteri berkata bagi tujuan sama, kementerian itu sudah meningkatkan saringan wabak berkenaan di semua pintu masuk antarabangsa di Malaysia.

“Semua hospital di Malaysia juga dalam keadaan bersedia sekiranya ada sebarang kes wabak Ebola dikenal pasti,” katanya dalam siaran radio Perdana Menteri yang dimuat naik dalam laman web najibrazak.com semalam.

Wabak Ebola mula dikesan sejak Mac di Afrika Barat dan sudah menular di Liberia, Guinea, Sierra Leone, Congo dan Amerika Syarikat.

Sehingga kini lebih 4,500 kematian dicatatkan berikutan penyakit itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menasihati rakyat Malaysia tidak menyebarkan maklumat palsu wabak berkenaan.– Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:06 AM