MANGSA menerima 10 jahitan di tangan kiri.
MANGSA menerima 10 jahitan di tangan kiri.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Puchong

"Gigi anjing itu terbenam hingga ke tulang tangan saya. Walaupun saya meronta, namun anjing itu enggan melepaskan gigitan selama lebih 10 minit," kata seorang ahli perniagaan, Chai Kah Onn, 37.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa diserang anjing jenis German Shepherd ketika berada berhampiran Taman Lestari Perdana di sini.

Mangsa berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakan lain melakukan urusan perniagaan di kawasan itu sekitar jam 3 petang.

Menurutnya, dia yang berjalan melintasi sebuah kedai bagaimanapun terkejut seekor anjing besar tiba-tiba menghulurkan kepala dari dalam pagar.

"Saya terkejut dan cuba menarik tangan saya sekuat hati dalam usaha melepaskan gigitan anjing itu, namun gagal. Anjing itu menggigit tangan saya sekuat hati dan cuba mengheret saya rapat ke arah jeriji besi itu.

"Saya menjerit kesakitan dan dua rakan saya cuba membantu dengan memukul anjing itu. Malangnya usaha mereka gagal berikutan anjing itu dilindungi jeriji besi kedai berkenaan," katanya.

"Dua rakan saya, Winson dan John bagaimanapun tidak berputus asa apabila berusaha membuka mulut anjing itu dengan kudrat yang ada," katanya.

Menurutnya, usaha itu akhirnya berhasil apabila anjing itu akhirnya melepaskan gigitan sebelum melarikan diri ke dalam kedai berkenaan.

"Saya kemudian segera dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan menerima 10 jahitan di tangan kiri.

"Susulan itu saya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara di sini, sejurus selepas menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 2:45 AM