Ampang: Pemilik sebuah kilang kayu berputih mata apabila kilang perabot yang diusahakan sejak sekian lama hangus dalam kebakaran di Jalan 9, Kampung Baru Ampang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, keseluruhan kilang musnah dan tiada sesiapa berada di dalamnya kerana pekerja belum memulakan tugas mereka.

Seorang jiran dikenali sebagai Wai Kit, 45, berkata, dia terjaga dari tidur apabila terdengar jeritan orang ramai. Saya bergegas keluar dan melihat api marak di kilang bedekatan rumah saya," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, penduduk cuba membantu tetapi gagal berikutan keadaan api terlalu marak.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Ampang, Zafiruddin Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.19 pagi dan tiba ke lokasi pada jam 6.45 pagi.

"Bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 6.53 pagi dari terus merebak ke kawasan perumahan lain. Punca kejadian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:13 AM