Anggota bomba memadamkan kebakaran  kilang getah daripada musnah dalam kebakaran dekat Bakar Arang, Sungai Petani, petang tadi. FOTO Omar Osman
Anggota bomba memadamkan kebakaran kilang getah daripada musnah dalam kebakaran dekat Bakar Arang, Sungai Petani, petang tadi. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Kepantasan anggota bomba mengawal api daripada terus merebak berjaya menyelamatkan sebuah kilang getah daripada musnah dalam kebakaran dekat Bakar Arang, di sini hari ini.

Kebakaran berlaku pada 3.50 petang membabitkan bahagian tengah bekas kilang getah di Kawasan Industri Bakar Arang di sini yang dijadikan sebagai tempat memproses barangan getah terpakai musnah.

Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ainon,40, sebelum kejadian dia hanya menghidu bau asap sahaja tetapi tidak tahu dari mana, namun beberapa minit kemudian dia terkejut melihat asap tebal dari bumbung kilang.

"Saya melihat ada beberapa pekerja warga asing yang bekerja di dalam kilang itu tetapi mereka segera keluar selepas api mula marak. Ketika itu asap sangat tebal dan berbau busuk akibat barangan getah yang terbakar.

"Sebelum ini, kilang terbabit kosong namun sejak tahun lalu ia dijadikan tempat proses barangan terpakai seperti getah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba,Balai Bomba Sungai Petani Liew Tong Sin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran kilang getah kira-kira jam 4.11 petang.

Katanya, empat jentera dan dua ambulans EMRS serta 24 pegawai dan anggota, bergegas ke tempat kejadian bagi operasi pemadaman.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan longgokkan getah yang diletak di bahagian tengah kilang terbabit dan ketika itu api sedang marak.

"Tindakan memadam api dilakukan segera bagi mengelak api merebak dan berjaya dikawal sepenuhnya jam 4.41 petang. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

-tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 7:48 PM