Tan Sri Khalid Abu Bakar

Alhamdulillah, kita sudah selesai menelusuri 16 siri pusat latihan polis yang bermula 8 April 2017 dan berakhir pada 29 Julai 2017 lalu.

Untuk minggu ini, saya berbangga untuk berkongsi dengan pembaca sekalian berhubung persiapan dan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi kejohanan Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung mulai 19 hingga 30 Ogos 2017. Temasya sukan ini akan membabitkan 36 venue meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah.

Seperti mana dalam lain-lain acara besar di mana Malaysia menjadi tuan rumah, PDRM diberi tanggungjawab besar dalam memastikan acara Sukan SEA 2017 ini berjalan lancar dan aspek keselamatan diberi keutamaan.

Ini membabitkan kawalan keselamatan ke atas venue sukan, atlet, pegawai sukan serta sukarelawan yang menjayakan kejohanan ini.

Selain mempertingkatkan risikan keselamatan dan memperkasakan langkah keselamatan perlindungan (protective security), PDRM turut menjalankan pelbagai bentuk kursus dan latihan bertujuan memastikan setiap pegawai dan anggota yang ditugaskan sepanjang kejohanan ini berlangsung, mampu dan mempunyai keupayaan yang tinggi dalam berhadapan dengan apa juga situasi yang boleh mengancam keselamatan.

Inisiatif ini turut membabitkan latihamal dan simulasi di beberapa lokasi sukan, tempat penginapan peserta dan pusat tumpuan awam melalui beberapa siri Latihamal Ex Rimau yang bermula awal Mei lalu:

i. 23 Mei 2017- Kompleks Bukit Jalil;

ii. 5 Jun 2017- National Sailing Centre, Langkawi, Kedah;

iii. 20 Jun 2017- International Endurance Park, Setiu, Terengganu;

iv. 11 Julai 2017- Kuala Lumpur Convention Centre; dan

v. 20 Julai 2017- Kuala Lumpur Sentral.

Kemuncak kepada latihamal ini dijalankan pada 3 Ogos 2017 di Maktab Polis Diraja Malaysia (MPDRM) Kuala Lumpur dan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin serta lain-lain pegawai kanan kerajaan.

Latihamal ini diadakan bagi menguji tahap perancangan dan tindakan serta respon PDRM dalam menghadapi situasi krisis berbentuk ancaman keganasan, bencana dan ketenteraman awam. Ia juga bertujuan meningkatkan tahap keupayaan Pasukan Tindak balas Krisis atau Crisis Response Team (CRT) dan Pasukan Pengurusan Krisis atau Crisis Management Team (CMT) dalam berhadapan dengan sebarang bentuk ancaman keganasan, di samping meningkatkan tahap kerjasama dan koordinasi dengan lain-lain agensi bantuan.

Latihamal ini turut membantu untuk meningkatkan kemampuan fizikal dan ketahanan mental petugas dalam berhadapan dengan sebarang bentuk krisis dan ancaman keselamatan yang mungkin berlaku sepanjang sukan ini berlangsung. Selain itu, ia juga bertujuan menilai keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan, menguji pelan tindak balas pihak polis di peringkat daerah sebagai ‘First Responder’ serta peranan Komander Briged sebagai Ketua CRT.

Melalui latihamal ini, kepakaran pasukan perunding daripada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut dinilai manakala kemahiran taktikal pasukan penggempur yang bertindak sebagai Pasukan Tindakbalas Krisis dinilai melalui senario ancaman yang disuntik di dalam persembahan yang dipertontonkan di penghujung acara berkenaan.

Semua enam siri Latihamal Ex Rimau dirancang agar mirip kepada situasi ancaman sebenar yang mungkin berlaku di lokasi utama Sukan SEA 2017, seperti serangan pengganas, ancaman bom dan penculikan. Ia dirangka khusus bagi setiap lokasi utama Sukan SEA yang bakal menjadi tumpuan orang ramai kelak.

PDRM bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi apa juga cabaran dan ancaman yang mungkin timbul. Dengan kekuatan keanggotaan kira-kira 8,000 orang yang akan terbabit sepanjang temasya sukan ini berlangsung, saya yakin PDRM mampu melakukan yang terbaik dalam menjaga keselamatan venue dan nyawa semua pihak.

Kepada semua petugas polis yang bakal terbabit dalam penugasan SEA Games 2017, saya berharap kita dapat mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda awam sentiasa terpelihara. Jalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berdisiplin, demi nama baik pasukan dan juga negara. Dalam masa sama, jagalah keselamatan diri dan sentiasalah berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang berupaya mendatangkan musibah.

Sama-samalah kita berdoa semoga usaha kita untuk menjaga keselamatan dan kepentingan negara diberkati Allah SWT. Moga dihindari segala bentuk mara bahaya dan diletakkan kita semua di bawah payung lindungan-Nya jua. Insya-Allah.

,B>Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 6:36 AM