AYU menjaga kucing yang diselamatkan dan tidak memberikan kepada orang lain.
AYU menjaga kucing yang diselamatkan dan tidak memberikan kepada orang lain.
Hafiz Ithnin


BAGI wanita berusia 36 tahun ini, tidak kira baka kucing yang ditemui atau diselamatkan, perkara paling penting ialah memastikan haiwan itu dalam keadaan selamat serta sihat.

"Saya pernah berhenti di tepi jalan raya kerana melihat seekor kucing berada di tengah-tengah pembahagi jalan disebabkan kakinya sudah patah.

"Tidak sampai hati untuk membiarkan haiwan itu menanggung penderitaan sendiri. Ini kerana haiwan juga antara makhluk dan kita perlu sayang kepadanya," kata Norhamidah Rejaluddin.

Wanita itu yang kini memiliki 18 ekor kucing sebenarnya lebih mesra disapa Ayu itu pernah memiliki sehingga 32 ekor kucing yang semuanya adalah kucing jalanan yang diselamatkan.

Katanya, apabila dia memiliki kucing jalanan sama ada yang sakit atau dibuang, dia tidak akan menyerahkan haiwan itu kepada orang lain.

"Saya mempunyai perasaan yang berat hati setiap kali apabila sudah menyelamatkan kucing jalanan kemudian ingin memberikannya kepada orang lain.

"Bagi saya sebenarnya kucing yang kita selamatkan ini mempunyai naluri dan

menghargai apa yang kita lakukan," katanya.

Ayu berkata, dia mula mempunyai kucing pertama pada usia 11 tahun dan ketika itu tiada ahli keluarga yang ingin menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan.

Segalanya bermula apabila majikan bapanya ingin memberikan seekor kucing baka tempatan kepada bapanya ketika itu.

"Sejak mempunyai kucing pertama, saya mudah merasa kasihan dan sayang kepada haiwan ini. Sehinggalah saya pernah mempunyai 32 ekor.

"Kini, saya hanya mempunyai 18 ekor sahaja dan yang selebihnya ada yang mati kerana sakit dan tua," katanya.

Dia berkata, mempunyai kucing yang banyak bukan menjadi bebanan kerana haiwan itu mempunyai jiwa dan memahami perasaan tuannya.

"Bagaimanapun, kucing ini adalah haiwan 'pendengar yang setia.' Ia akan duduk di samping saya dan seakan-akan faham saya bercakap dengannya.

"Selain itu, perangai setiap kucing ini yang pelbagai menjadikan kehidupan seharian saya dan keluarga lebih ceria," katanya.

Katanya, meskipun semua kucing yang dimilikinya adalah kucing jalanan, soal makanan dan kesihatan tidak pernah dipandang remeh.

"Saya tetap menyediakan makanan yang premium kepada kucing-kucing ini kerana bagi saya makanan adalah perkara penting bagi memastikan semuanya sihat dan kekal aktif.

"Selain itu, walaupun mempunyai kucing yang banyak saya akan memastikan keadaan di dalam rumah sentiasa bersih dan melatih setiap kucing baharu yang diselamatkan untuk membuang najis di tempat yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 6:45 AM