SAMSUNG perkenal Galaxy Fold5 dan Flip5
SAMSUNG perkenal Galaxy Fold5 dan Flip5
Muhammad Saufi Hassan


Seperti dijangka, Samsung memperkenalkan dua peranti kelas perdana paling ikonik mereka iaitu peranti skrin boleh lipat daripada generasi Samsung Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold5 yang dilengkapi dengan ciri terkini.

  Menerusi majlis pengenalan 'Unpacked' petang tadi, dua peranti boleh lipat berkenaan diberikan nafas baru selain padanan spesifikasi terkini termasuk beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan.

  Menyentuh aspek spesifikasi bagi Galaxy Flip5, peranti ini menggunakan skrin 6.7 inci FHD+ dengan paparan Dynamic AMOLED 2X bersama-sama dengan kadar segar semula 120Hz serta paparan Infinity Flex Display.

  Sesuai dengan kelas peranti kelas perdana, kedua-dua peranti berkenaan menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2.

  Untuk Galaxy Flip5, ia menggunakan tetapan dua lensa iaitu 12 Megapiksel (MP) sudut ultra lebar bersama 12MP sudut lebar yang dilengkapi dengan sensor OIS.

  Ia dilengkapi dengan memori (RAM) 8GB dengan pilihan storan 256GB atau 512GB mengikut kesesuaian pengguna.

  Bagi Galaxy Fold5 pula, peranti ini didatangkan dengan 7.6 inci QXGA+ dengan paparan Dynamic AMOLED 2X bersama-sama dengan Infinity Flex Display serta skrin kadar segar semula 120Hz adaptif.

  Peranti ini menggunakan tetapan tiga lensa dibahagian belakang dengan kapasiti sensor 12MP sudut ultra lebar, 50MP sudut lebar dan 10MP lensa telefoto sekali gus menghasilkan kualiti imej yang lebih baik.

  Galaxy Fold5 ini menggunakan tetapan memori 12GB dengan pilihan storan 256GB atau 512GB serta dilengkapi dengan sistem dua bateri berkapasiti 4,400mAh sekali gus memastikan ketahanan peranti sepanjang hari.

  Presiden dan Ketua Perniagaan Mudahalih Samsung (Samsung MX), TM Roh berkata, Samsung sedang merevolusikan industri mudah alih dengan peranti boleh lipat dengan menetapkan piawaian yang berterusan.

  "Setiap hari, lebih ramai orang memilih alat lipat kami kerana mereka menawarkan pengalaman orang mahukan bahawa mereka tidak boleh mendapatkan pada mana-mana peranti lain. Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold5 ialah peranti terkini yang membuktikan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan kami melalui teknologi inovatif," katanya.

  Menurutnya, inovasi dan dedikasi Samsung kepada kategori peranti boleh lipat mencipta sesuatu yang luar.

  Tanda harga untuk Galaxy Flip5 bermula pada RM4,499 manakala untuk Galaxy Fold5 adalah RM6,799.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 9:40 PM