Muhammad Saufi Hassan

Pengeluar perkakas kelas permainan terkemuka, MSI memperkenalkan enam variasi unit pemproses grafik (GPU) baharu mereka daripada generasi Nvidia GeForce RTX 4090.

Enam variasi itu antaranya adalah MSI Suprim X, Liquid X dan Gaming X yang didatangkan dengan teknologi penyejukan terkini khusus untuk pengguna dan 'kaki games' yang mahu desktop mereka beroperasi tanpa henti.

Menerusi MSI Suprim X RTX4090 itu yang menggunakan konsep rekaan geometri dan berlian menawarkan kualiti premium dan ketahanan untuk masa penggunaan yang panjang.

Bagi generasi baharu kad grafik RTX4090 ini memberikan dua kali kuasa preatasi serta kecekapan guna tenaga termasuk generasi ketiga teras Ray Tracing.

Untuk variasi ini juga, ia akan didatangkan dengan penyokong tambahan yang turut disertakan bagi setiap pembelian.

Menyentuh aspek spesifikasi, kelajuan memori untuk variasi ini adalah 2,640 MHz dan talaan prestasi boleh dilaksanakan dengan mudah menggunakan perisian MSI Center.

Kapasiti video memori (VRAM) untuk kad ini adalah 21GB serta didatangkan dengan tiga sokongan DisplayPort 1.4a bersama-sama dengan HDMI yang menyokong kadar segar semula 60Hz untuk resolusi 8K.

Sesuai dengan kad prestasi, sistem penyejukan dilengkapi dengan Tri Frozr 3S iaitu rekaan Tork Fan 5.0 yang meningkatkan aliran udara keluar serta masuk termasuk 'Vapor Chamber' bagi tujuan pemindahan haba kepada paip haba.

Variasi ini juga menyokong penetapan cahaya lampu RGB yang turut diselaraskan menerusi MSI Center tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 2:15 PM