Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pengeluar perkakas desktop kelas permainan, MSI memperkenalkan generasi papan induk mereka yang baharu iaitu daripada siri B650 yang menawarkan keupayaan memori (RAM) binaan DDR5.

  Untuk papan induk berkenaan, ia sesuai bagi kelas prestasi tinggi khususnya pengguna dalam segmen penyuntingan video, permainan dan sebarang tugasan kompleks yang lain.

  Menyentuh aspek spesifikasi, papan induk daripada siri B650 itu menyokong cip pemproses Ryzen siri 7000 sekali gus memberi penawaran prestasi terbaik tanpa sebarang masalah.

  Ia juga direka dengan sinki haba yang diperluaskan untuk memudahkan operasi penyejukan termasuk pelindung Frozr khusus bagi storan binaan M.2 SSD untuk beroperasi lebih stabil.

  Papan induk siri B650 ini menggunapakai sistem 16+2+1 'Sistem Kuasa Rail Berkembar' bersama-sama dengan dua punca kuasa CPU yang diletakkan di bahagian atas.

  Untuk pengguna yang gemar melakukan talaan kuasa tambahan (overclocking), papan induk ini sangat sesuai dan mampu untuk melaksanakan dan ia turut didatangkan dengan teknologi 'Boost Core'.

  Bagi rekaan RAM DDR5 pula, ia akan memberi kelebihan kepada pengguna untuk frekuensi kelajuan termasuk tahap efisien apabila mod dihidupkan.

  Memenuhi keperluan 'gamers' pada hari ini, papan induk ini menyokong kelajuan pemindahan dan sokongan sambungan Internet 2.5G LAN bersama WiFi 6E.

  Pengguna bleh melakukan pilihan untuk papan induk B650 daripada siri MPG, MAG dan Pro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 10:47 PM