X1 Omni.
X1 Omni.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Syarikat perkakas pintar, Ecovacs memperkenalkan robot pembersih rumah baharu mereka iaitu X1 Omni yang dilengkapi dengan stesen membersih tangki habuk serta air.

  Ecovacs yang terkenal dengan pengeluaran robot pintar Deebot menambah barisan produk mereka dengan keupayaan teknologi baharu sesuai dengan permintaan semasa.

  Untuk pasaran tempatan, Ecovacs memperkenalkan X1 Omni yang dilengkapi dengan stesen khas sekali gus memudahkan pengguna.

  Pengguna tidak lagi perlu menukar atau mengosongkan tangki habuk setiap kali operasi pencucian selesai sebaliknya stesen berkenaan akan melaksanakan tugas dengan automatik.

  Untuk robot pintar X1 Omni ini, ia hadir dengan keupayaan pembersihan tangki habuk, tangki air dan beberapa kefungsian lain khusus untuk tugas pembersihan di rumah.

  Omni ini juga berupaya untuk membersihkan kain mop dengan udara panas.

  Robot pintar ini mempunyai kuasa sedutan 5,000Pa dan pengguna boleh membuat penalaan pembersihan menerusi aplikasi daripada Ecovacs di telefon pintar.

  Ecovacs memaklumkan bahawa X1 Omni menyokong TrueMapping 2.0 dengan sistem kecerdasan buatan 3D AIVI yang dipadankan dengan sensor RGB yang boleh melakukan proses pengimejan HDR.

  X1 Omni ini turut dijana dengan cip pemprosesan tersendiri iaitu Horizon GAI untuk kuasa AI dalam kebijaksanaan membuat peta yang pantas dan mengelak halangan.

  Deebot X1 Omni dijual di Malaysia pada harga RM7,999, namun sempena promosi pelancaran, Omni boleh didapati pada harga RM4,999 bermula 26 Mac ini sehingga 27 Mac di Shopee rasmi Ecovacs.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:42 PM