ECOVACS Deebot T9  pencuci pintar mampu mudahkan urusan di rumah
ECOVACS Deebot T9 pencuci pintar mampu mudahkan urusan di rumah
Muhammad Saufi Hassan


TETAPKAN menerusi telefon pintar, biarkan 'dia' bekerja, hasilnya lebih mengagumkan daripada melakukan sendiri.

'Dia' bukan manusia, tetapi 'robot vakum' yang melakukan tugasan rumah secara pintar termasuk melakukan pemetaan setiap lantai dan sudut rumah tanpa sebarang masalah.

Kemajuan teknologi hari ini juga mampu untuk melengkapkan robot vakum ini dengan sistem pengesan atau sensor permukaan supaya membolehkan robot berkenaan mengubah kelajuan tatkala menghampiri sesuatu sudut.

Robot yang penulis maksudkan adalah Ecovacs Deebot T9 yang bukan saja memudahkan tugasan harian pengguna di rumah sebaliknya menjadi 'pembantu rumah' pintar dalam melaksanakan tugasan pembersihan di kawasan sekitar rumah.

Deebot T9 ini didatangkan dengan mod pembersihat serta kelengkapan iaitu untuk vakum dan kelengkapan mengelap lantai bersama-sama beberapa pad pembersihan tambahan turut disertakan ketika pembelian.

ROBOT vakum, Ecovacs Deebot T9 memudahkan tugasan harian.
ROBOT vakum, Ecovacs Deebot T9 memudahkan tugasan harian.

Penulis agak skeptikal berhubung penggunaan robot dalam tugasan mencuci rumah kerana masih berpandangan bahawa ia mungkin tidak efisien namun persepsi itu 100 peratus berubah selepas penggunaan pertama kali.

Untuk tetapan pertama kali, pengguna tidak perlu bimbang berhubung tetapan kerana sambungan menerusi aplikasi telefon pintar amat mudah, semudah 'A B C' saja.

Pertama kali dihidupkan, Deebot T9 akan berlegar di sekitar hab pengecas antara lima hingga 10 saat bagi merekod data serta pemetaan lokasi hab berkenaan sebelum memulakan tugas pembersihan.

Pengguna boleh menetapkan jadual pembersihan menerusi aplikasi 'Ecovacs' dan mendaftarkan robot, malah aplikasi interaktif itu juga boleh digunakan untuk melancarkan peta 3D.

Menerusi aplikasi itu juga, pengguna boleh memilih beberapa mod pembersihan yang didatangkan dengan empat tetapan kelajuan bersama-sama dua tetapan corak pembersihan.

Corak pembersihan boleh dipilih sama ada untuk mod 'S' ataupun mod ulangan 'U' untuk membersihan lebih optimum.

Ecovacs Deebot T9 ini dilengkapi dengan dua berus diletakkan di bahagian depan untuk capaian habuk termasuk ruang sudut sukar tanpa sebarang masalah.

PENGGUNA tidak perlu bimbang untuk tugasan pembersihan memandangkan sudah ada 'pembantu rumah pintar'.
PENGGUNA tidak perlu bimbang untuk tugasan pembersihan memandangkan sudah ada 'pembantu rumah pintar'.

Malah paling mengagumkan adalah pengguna tidak berlu bimbang pelbagai perabot yang ada di bahagian setiap ruang kerana menerusi teknologi TrueDetect 2.0, Deebot T9 mampu mengesan sebarang halangan sekali gus mengubah kelajuan tatkala menghampiri halangan berkenaan.

Bagi mod vakum, pengguna boleh meletakkan alat pewangi di ruang belakang dan ia dilengkapi dengan teknologi OZMO Pro bersama-sama kuasa tekanan sedutan sehingga 3,000Pa.

Ruang rumah yang besar boleh dibersihkan sekitar 20 minit untuk mod 'S' dan ulangan 'U' mengambil masa lebih lama memandangkan ia menggunakan kuasa lebih optimum untuk pembersihan.

Tempoh pengecaj daripada 0 peratus hingga 100 peratus juga tidak memakan masa yang lama sekali gus memudahkan tugasan harian pengguna.

Secara keseluruhannya, Ecovacs Deebot T9 ini adalah robot pencuci pintar terbaik di pasaran dan rekaan robot secara bulat sebenarnya adalah langkah bijak untuk memboleh pergerakan lebih mudah ketika mencuci.

Prestasi untuk kedua-dua mod juga sangat cemerlang dan mampu menanggalkan kesan kotoran degil di permukaan lantai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:13 AM