TINGKAT kesedaran mengenai kehidupan digital.
TINGKAT kesedaran mengenai kehidupan digital.
REMAJA kerap menggunakan telefon pintar.
REMAJA kerap menggunakan telefon pintar.
PANTAU kehidupan digital kanak-kanak.
PANTAU kehidupan digital kanak-kanak.
BULI bukan sekadar dalam bentuk fizikal.
BULI bukan sekadar dalam bentuk fizikal.
ANAK kecil mudah terdedah.
ANAK kecil mudah terdedah.
ALBERN (kiri) memberi penerangan mengenai hari terbuka Digi.
ALBERN (kiri) memberi penerangan mengenai hari terbuka Digi.
Afiq Hanif


Kebiasaannya, syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memanfaatkan hari terbuka 'Customer First Day' mereka sebagai inisiatif menghargai pelanggan dengan menawarkan pelbagai hadiah.

Tahun ini Digi menampilkan kelainan apabila menambah satu lagi aktiviti berkaitan buli siber selaras dengan inisiatif CyberSAFE yang diperkenalkan beberapa tahun lalu hasil kerjasama jangka panjang dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pegawai Eksekutif Digi Albern Murty berkata, ia usaha bersepadu syarikatnya selaku penyedia rangkaian yang menawarkan Internet kepada pengguna.

“Sudah tentu kita bimbang apabila peningkatan Internet juga disusuli dengan buli siber.

“Meskipun kami dalam perniagaan membabitkan Internet, kami tidak mahu buli siber berterusan dan akan lakukan apa yang terdaya untuk menanganinya,” katanya.

Beliau berkata, meskipun Digi tidak mempunyai kuasa bertindak sebagai penguat kuasa undang-undang, syarikat terbabit mengambil langkah membendung gejala buli siber terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Sebab itu kami bekerjasama dengan agensi kerajaan dan penguat kuasa dalam memastikan gejala tidak merebak melalui aktiviti seperti ‘Us vs Cyberbullying’ yang dimuatkan pada Customer First Day serentak dengan inisiatif antarabangsa yang dibawa Telenor Group,” katanya.

Digi mengambil inisiatif menasihatkan penggunanya yang dibuli untuk dibawa ke saluran betul dan jika membabitkan kes polis, syarikat terbabit akan memberi kerjasama penuh.

“Kami tidak teragak-agak untuk hilang pelanggan jika dia pembuli siber,” kata Albern.

Program Us vs Cyberbullying di bawah Customer First Day akan berlangsung di PJ Boulevard, Petaling Jaya pada 1 Oktober ini bermula 10 pagi hingga 5 petang membabitkan pelbagai aktiviti dan gerai penganjur seperti SKMM, PDRM, CSM serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Jika anda ibu bapa kepada anak berusia 15 hingga 24 tahun di Malaysia, mereka berkemungkinan besar tergolong sebagai warga digital yang tinggal di rumah anda.

Kajian Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 2013 menunjukkan Malaysia mempunyai jumlah warga digital keempat tertinggi di dunia dengan hampir 75 peratus daripadanya belia.

Definisi warga digital ITU adalah individu muda berusia 15 hingga 24 tahun dengan penggunaan aktif Internet sekurang-kurangnya 5 tahun.

Kajian CyberSAFE di sekolah dengan kerjasama CSM pada 2014 menunjukkan statistik yang membimbangkan apabila 40 peratus pelajar tidak tahu cara melindungi diri mereka dalam ‘online’.

Manakala 83 peratus terdedah kepada risiko online disebabkan langkah perlindungan yang minimum.

Meskipun dua pertiga kanak-kanak di bawah 13 tahun mengambil beberapa langkah perlindungan online, hanya 52 peratus berasakan diri mereka selamat dan 70 peratus tidak mengambil berat mengenai pencerobohan privasi atau ketanpanamaan orang yang mereka berinteraksi.

Lebih teruk, 64 peratus berasakan menghantar teks atau gambar yang tidak sopan menggunakan nama samaran bukanlah buli siber.

Setakat kajian terbabit didedahkan, lebih 26 peratus pernah mengalami buli siber, kebanyakan mereka berusia 13 ke 15 tahun.

Sejumlah 70 peratus pula mengakui mereka melakukan pelbagai bentuk gangguan online seperti memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukai dan menghantar mesej atau gambar tidak sopan.

Sementara itu, 61 peratus kanak-kanak mengadu kepada ahli keluarga apabila menghadapi pengalaman negatif online dan enam peratus memilih berdiam diri apabila dibuli walaupun mempunyai pilihan melaporkannya kepada ahli keluarga, pendidik atau pihak berkuasa.

Anda atau ibu bapa perlu membangkitkan atau bertanya soalan berikut bagi melihat sejauh mana buli siber ini berleluasa:

1. Pernahkah kamu berbalah atau meletakkan entri yang menyinggung di Instagram, Facebook, Twitter atau laman media sosial kamu? Mengapa?

2. Pernahkah kamu memadam sesuatu pos atau komen yang ditulis oleh orang lain di laman kamu?

3. Adakah buli siber kerap berlaku? Adakah kamu rasa selesa jika dapat memberitahu kamu dibuli di alam siber?

4. Adakah kamu rasa sekolah kamu memandang serius buli siber?

5. Pernahkah kamu terpaksa menghubungi guru atau orang lain di sekolah disebabkan ancaman siber? Jika pernah, adakah mereka bertindak dan adakah ia membantu?

6. Adakah sekolah kamu mempunyai cara untuk merahsiakan pelapor buli dan buli siber?

7. Bagaimana kamu menjaga keselamatan diri ketika online?

8. Adakah kamu risau orang membaca tulisan seseorang yang tidak benar mengenai kamu dalam talian tetapi menganggapnya benar?

9. Pernahkah kamu berbual dengan sesiapa secara online yang bukan dari sekolah kamu?

10. Adakah kamu rasa teman akan menyokong kamu jika kamu beritahu dibuli di alam siber?

11. Pernahkah kamu dikritik ketika bermain secara online?

12. Pernahkan kamu terpaksa meninggalkan permainan online kerana seseorang mengganggu (ketika berinternet) ?

13. Pernahkah khabar angin mengenai kamu tersebar di sekolah kerana sesuatu yang dikatakan secara online?

14. Dapatkah kamu ketahui siapa yang memulakan khabar angin itu? Apa tindakan kamu selepas mengetahuinya?

15. Pernahkah kamu menyekat sesiapa di online kerana rasa terganggu? Jika pernah, dapatkah ia menghentikannya?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 11:45 AM