JOBS melancarkan sistem operasi Mac OS X pada 2000.
JOBS melancarkan sistem operasi Mac OS X pada 2000.
Muhammad Saufi Hassan


KIRA-KIRA dua dekad lalu, syarikat gergasi teknologi iaitu Apple melancarkan sistem operasi mereka untuk segmen desktop atau laptop, sekali gus merubah landskap kepenggunaan secara menyeluruh.

Sistem operasi berkenaan adalah Mac OS X yang dilancarkan pada Januari 2000 sebelum memasuki pasaran secara rasmi pada 24 Mac 2001 dan ia petunjuk penting dalam perubahan landskap teknologi seluruh dunia.

Sejak daripada pelancaran rasminya, Mac OS sudah melalui pelbagai pembaharuan untuk pengguna dan objektif utamanya adalah memberi kefungsian sistem operasi yang sangat mesra kepada pengguna.

Mengimbau kembali sejarah pelancarannya, sistem operasi berkenaan diperkenalkan oleh Ketua Pegawai Operasi (ketika itu) Steve Jobs yang memberi kesimpulan bahawa Mac OS X menawarkan sebuah pengalaman yang ringkas serta mengagumkan.

Ketika itu, Apple mengorak langkah berani apabila pertama kali memperkenalkan teknologi baharu antaramuka dikenali 'Aqua' yang didatangkan dengan 'dock'.

'Dock' berkenaan boleh diubahsuai mengikut kesesuaian pengguna, sekali gus menawarkan kefungsian mudah seperti tidak memerlukan pengguna untuk mengingati aturan fail sebaliknya semua tersimpan dalam 'dock' berkenaan.

Sempena sambutan dua dekad pelancaran Mac Os X berkenaan, Apple sangat berjaya menawarkan suatu pengalaman kefungsian paling mesra pengguna malah memberikan teknologi baharu kepada pengguna.

Sistem operasi berkenaan bukan saja mesra pengguna sebaliknya menjadi pilihan untuk setiap lapisan terutama bagi penyedia kandungan yang mahukan satu sistem operasi tanpa gangguan, kelengahan atau 'crash' ketika penggunaan.

APPLE berjaya tawar pengalaman kefungsian sistem operasi sangat mesra pengguna.
APPLE berjaya tawar pengalaman kefungsian sistem operasi sangat mesra pengguna.

Kini sistem operasi Mac OS sudah memasuki versi 11 iaitu Mac Os BigSur dan mengikut versi keluaran ia adalah versi ke-18 dilancarkan sejak Mac Os X Public Beta yang mula diperkenalkan pada 13 September 2000.

Selepas itu, Mac OS versi penuh diperkenalkan hampir setahun selepas itu, pada 24 Mac 2001, Mac Os X 10.0 dengan kata nama 'Cheetah' dilancarkan dan setiap versi mengalami perubahan daripada sudut penawaran teknologi sehingga kepada kefungsian yang ditambah baik.

Terbaharu, Mac OS 11 BigSur diperkenalkan pada 22 Jun tahun lalu untuk menggantikan Mac OS 10.15 Catalina iaitu versi setahun sebelum Big Sur.

Hasil daripada langkah pertama Apple untuk memperkenalkan sistem operasi berkenaan, syarikat paling berjaya dalam sejarah industri teknologi itu juga sudah memperkenalkan silikon pertama mereka iaitu Apple M1 pada tahun lalu.

Cip pemproses berkenaan juga sudah digunakan untuk MacBook dan hasilnya sangat mengagumkan termasuk mampu pemproses bilion maklumat dalam satu-satu masa.

SYARIKAT Apple menjadi gergasi teknologi yang paling berjaya dalam memperkenalkan ciri baharu untuk pelbagai segmen teknologi.
SYARIKAT Apple menjadi gergasi teknologi yang paling berjaya dalam memperkenalkan ciri baharu untuk pelbagai segmen teknologi.

Bagi segmen industri teknologi, Apple boleh dikategorikan sebagai 'penentu trend' (trends setter) termasuk penawaran ciri spesifikasi baharu untuk pengguna sebelum diikuti pengeluar lain.

Pastinya untuk tempoh akan datang, Apple sudah merangka pelbagai lagi teknologi baharu yang memudahkan urusan pengguna seharian dan langkah mula dua dekad lalu pastinya menjadi jejak pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:58 PM