Oleh Muhammad Saufi Hassan


Mungkin masih ramai yang tertanya-tanya dengan sistem operasi baharu diperkenalkan Apple khusus untuk peranti tablet milik mereka, iPadOS.

Tanggapan pertama yang sering muncul adalah ia sistem operasi dengan ‘jenama baharu’ dan hanya beroperasi umpama sistem operasi Apple sedia ada iaitu iOS.

Jika ada pengguna yang masih beranggapan seperti itu, ia tanggapan awal yang salah kerana iPadOS menawarkan pengguna lebih kefungsian dan penulis boleh menyatakan ia 50 peratus mirip komputer riba.

Apple buat kali

pertama memperkenalkan sistem operasi khusus untuk peranti tablet mereka dan perkara itu diumumkan beberapa bulan lalu.

Ramai yang ternanti-nanti apakah yang Apple mahu tawarkan kepada pengguna kerana syarikat itu sememangnya terkenal dengan penawaran ekosistem peranti pintar terbaik pernah ada di pasaran.

Penulis membuat kesimpulan iPadOS melakukan tugasan yang lebih baik berbanding tablet dan pengguna boleh melakukan pelbagai tugas dengan cip pemproses berkuasa milik Apple.

APPLE perkenal sistem operasi iPadOS untuk memberi lebih kefungsian kepada pengguna dan tidak hanya sebagai sebuah tablet.
APPLE perkenal sistem operasi iPadOS untuk memberi lebih kefungsian kepada pengguna dan tidak hanya sebagai sebuah tablet.

Secara luarannya, sistem operasi ini melakukan beberapa perubahan visual dengan melaksanakan peningkatan prestasi supaya pengguna boleh berasakan mereka sedang menggunakan peranti konvensional seperti

laptop.

Apple juga mengubah format web Safari supaya ia lebih kelihatan dalam kelas desktop dan paling penting adalah iPadOS membolehkan pengguna melakukan pelbagai tugas dalam satu masa.

Contohnya, penulis mahu membaca rujukan di sebuah laman web dan pada masa sama ingin menulis huraian rujukan berkenaan tanpa perlu melakukan tukaran aplikasi.

Pengguna hanya perlu melakukan gerakan jari di skrin iPad untuk membolehkan ia mengecil dan meletakkan web Safari di sebelah aplikasi nota sambil menyemak e-mel pada masa serentak.

Tanpa gangguan prestasi, iPadOS mampu melakukan kepelbagaian tugasan serentak dan langkah awal Apple untuk memperkenalkan sistem operasi baharu itu sebenarnya memberi gambaran masa depan iPad untuk berkembang.

Inovasi yang dilakukan Apple secara tidak langsung memberi keupayaan kepada iPad untuk lebih berfungsi sebagai ‘peranti komputer riba moden’ dan tidak sekadar peranti tablet.

Pengguna juga boleh menambah aksesori penting seperti papan kekunci dan pensel pintar sesuai dengan keperluan tugasan harian.

Jika anda seorang pereka yang memerlukan melukis, menaip dan melakukan tugasan lain pada masa sama, tetapi tetap mahu peranti yang ringan serta mudah dibawa, iPadOS memberi keselesaan kepada pengguna.

Malah, pengguna tidak perlu pening untuk memahirkan arahan menerusi sistem operasi iPadOS sebaliknya ia mudah untuk dihafal dan menggunakan arahan mudah seperti ketukan jari di skrin akan menghasilkan seluruh ayat disalin serta sebagainya.

SISTEM operasi iPadOS melakukan beberapa perubahan visual dengan melaksanakan peningkatan prestasi.
SISTEM operasi iPadOS melakukan beberapa perubahan visual dengan melaksanakan peningkatan prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 12:10 PM