Muhammad Saufi Hassan


TELEFON pintar sememangnya sudah menjadi satu 'aset kewajipan' untuk setiap individu pada hari ini kerana ia juga menyumbang kepada tugasan produktiviti harian dan mana-mana pekerja serta pihak pengurusan untuk sebarang sektor industri juga menggunakan peranti itu untuk berhubung dan penyampaian maklumat.

Hasil kemajuan sistem jaringan telekomunikasi juga menyumbang kepada kepesatan teknologi telefon pintar yang sudah berubah jika dibandingkan dengan sedekad lalu.

Kini, telefon pintar tidak hanya berfungsi untuk perkakas perhubungan sebaliknya ia sudah menjadi 'mini laptop' untuk generasi X, Y dan Z memilih peranti terbabit sebagai medium permainan mudah alih yang semakin popular.

Untuk itu, tidak hairan jika hari ini kebanyakan pengeluar telefon pintar menggunakan spesifikasi 'gergasi' untuk pemproses serta keupayaan memori (RAM) peranti mereka kerana mahu pengguna menikmati pengalaman permainan mudah alih yang lebih baik.

Hujung minggu lalu, ASUS menerusi jenama segmen permainan Republic of Gamers (ROG) melancarkan peranti telefon pintar baharu mereka iaitu ROG Phone 3 yang menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 865+ serta dipadankan bersama keupayaan RAM 16GB umpama setara spesifikasi laptop kelas permainan.

Evolusi telefon pintar yang disaksikan pada hari ini banyak bertitik tolak kepada tabiat kepenggunaan dan kefungsian. Ini termasuk padanan spesifikasi berkenaan yang disifatkan sebagai 'wajib' untuk waktu ini.

Memberi fokus kepada peranti kelas permainan, generasi muda pada hari ini membesar dengan gajet dan perkara itu tidak boleh dinafikan memandangkan ini adalah 'era gajet' mereka.

Cara generasi ini melepaskan tekanan pula dengan banyak menghabiskan masa menerusi permainan mudah alih seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan beberapa judul hangat lain dan semua judul berkenaan boleh dimainkan oleh sebarang peranti namun mungkin tidak sama dengan telefon pintar yang memiliki spesifikasi maju seperti ASUS ROG Phone 3.

Sebelum ini, jika bermain di desktop, pemain akan mementingkan skrin paparan yang mempunyai kadar segar semula (FPS) yang baik bagi pengalaman permainan yang lebih 'licin' tanpa tersekat-sekat namun kini perkara itu turut dititikberatkan dalam telefon pintar.

Ujian terhadap ASUS ROG Phone 3 terhadap lebih 100 judul permainan termasuk judul PUBG menunjukkan peranti berkenaan mampu memberikan prestasi lebih 100FPS dengan talaan prestasi kesan grafik pada tahap tertinggi (max setting).

Tidak hairan untuk tempoh sedekad akan datang, spesifikasi peranti pintar ini mampu untuk menjangkaui keupayaan laptop berasaskan kepada kegunaannya dan kini sudah banyak judul permainan mudah alih yang menampilkan keupayaan grafik yang sangat baik.

Walaupun kesan grafik berkenaan masih terlalu jauh untuk diukur dengan prestasi laptop semasa, namun ia bukan mustahil untuk evolusi peranti mudah alih ini sama seperti keupayaannya jika dibandingkan dengan beberapa dekad lalu.

Evolusi telefon pintar ini pasti akan terus berkembang dengan kemajuan cip pemproses, keupayaan RAM, jumlah kapasiti storan dan fungsinya untuk masa depan.

EVOLUSI peranti pintar untuk memenuhi segmen permainan mudah alih yang semakin digilai generasi X, Y dan Z.
EVOLUSI peranti pintar untuk memenuhi segmen permainan mudah alih yang semakin digilai generasi X, Y dan Z.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:00 AM