DILENGKAPI dengan lensa 12 megapiksel (MP) dan berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 4K untuk 60 bingkasi sesaat (FPS), resolusi 2.7K (120FPS) dan resolusi 1080p (240FPS).
DILENGKAPI dengan lensa 12 megapiksel (MP) dan berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 4K untuk 60 bingkasi sesaat (FPS), resolusi 2.7K (120FPS) dan resolusi 1080p (240FPS).
Muhammad Saufi Hassan


Penggemar sukan lasak pastinya mahu setiap detik mereka dirakam dalam pelbagai situasi termasuk keindahan alam semula jadi jika melakukan aktiviti luar yang berkaitan flora serta fauna.

Untuk semua aktiviti berkenaan, mereka memerlukan sebuah peranti tahan lasak, tempoh jangka hayat bateri yang panjang, mampu untuk merakam sebarang detik tanpa mengira masa dan berkeupayaan dalam mod gambar pegun, video ataupun video perlahan.

Semua kriteria berkenaan boleh dipenuhi jika pengguna memiliki siri terbaru kamera lasak GoPro Hero 8 yang bukan saja dilengkapi sensor kamera terkini sebaliknya mampu untuk beroperasi dalam sebarang keadaan termasuk cuaca ekstrim.

Secara asasnya, kamera GoPro dicipta untuk merakam aksi pengguna terutama pencinta aksi lasak tatkala berbasikal di luar laluan serta meredah hutan ataupun aktiviti mendaki gunung.

Aktiviti berkenaan bukan saja lasak daripada aspek fizikal individu, malah mereka memerlukan peranti yang juga tahan lasak, ketahanan bateri panjang dan keupayaan format video atau gambar yang sangat baik.

PENGGUNA boleh memuat turun aplikasi GoPro yang turut diintegrasikan
PENGGUNA boleh memuat turun aplikasi GoPro yang turut diintegrasikan

Menerusi GoPro Hero 8, penulis boleh menyatakan bahawa ia adalah kamera terbaik dalam kelas peranti kestabilan dan pengguna boleh melakukan automasi perisian menerusi telefon bimbit tanpa pengawalan terus kepada peranti.

Siri terbaru kamera GoPro ini menampilkan mod ‘HyperSmooth 2.0’, ‘TimeWarp’, ‘Live Burst’, peningkatan kualiti Pengimejan Dinamik Tinggi (HDR) termasuk kualiti pemproses imej dalam pencahayaan kurang.

Untuk kamera aktiviti luar seperti ini, pengguna lebih memilih peranti yang memiliki penstabilan imej kerana berlaku banyak pergerakan dan kamera yang memiliki teknologi penstabilan terbaik setakat ini adalah GoPro Hero 8.

Fungsi ini akan melakukan proses penstabilan kepada imej walaupun rakaman dilakukan tatkala pengguna sedang berlari atau menunggang basikal dan hasilnya, rakaman akan kurang bergegar dan kelihatan stabil.

Menerusi HyperSmooth 2.0, fungsi ini menawarkan tiga mod berbeza iaitu fungsi dihidupkan, imej penstabilan tinggi dan galakan penstabilan. Ketiga-tiga fungsi berkenaan melakukan proses penstabilan yang berbeza mengikut tetapan pengguna.

Menyentuh aspek spesifikasi GoPro Hero 8, ia dilengkapi dengan lensa 12 megapiksel (MP) dan berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 4K untuk 60 bingkasi sesaat (FPS), resolusi 2.7K (120FPS) dan resolusi 1080p (240FPS).

GOPRO Hero
GOPRO Hero

GoPro Hero 8 mampu untuk merakam kadar bit video maksimum sebanyak 100Mbps bagi resolusi 4K dan peranti berkenaan menggunakan pemproses imej SoC GP1 serta sokongan lensa digital pemandangan super (SuperView), lensa lebar (Wide), Linear dan lensa kecil (Narrow).

Pengguna boleh memuat turun aplikasi GoPro yang turut diintegrasikan bersama Quik untuk memudahkan melakukan rakaman atau mengambil imej pegun hanya menerusi peranti pintar.

Selain itu, peranti berkenaan turut mempunyai sokongan Bluetooth, Wi-Fi dan Sistem Kedudukan Global (GPS) termasuk dilengkapi bateri 1,220mAh yang mampu bertahan untuk jangka panjang.

Secara keseluruhannya, GoPro Hero 8 adalah kamera yang dibina untuk ketahanan dan ia sangat bersesuaian untuk pengguna yang gemar merakam aktiviti luar mereka dalam sebarang keadaan termasuk hujan atau salji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 6:10 AM