PADANAN kurung dan baju Melayu berserta samping.
PADANAN kurung dan baju Melayu berserta samping.
Intan Mas Ayu Shahimi


SEJAK jenama ini mula diperkenalkan, Pokoks tidak henti memberi inspirasi kepada pencinta fesyen minimalis untuk terus menghargai tradisi dan warisan lama supaya terus kekal relevan.

Komited menyuntik elemen moden dalam gaya klasik, jenama ini sekali lagi tampil dengan koleksi lebih inovatif dan segar untuk digayakan bayi, kanak-kanak, remaja hingga dewasa sepanjang musim perayaan ini.

Masih mengekalkan ciri selesa, gaya santai dan sentuhan elegan, koleksi sempena Aidiladha kali ini menampilkan pilihan baju Melayu dan kurung klasik yang boleh disuai padan menjadi fesyen kasual.

Memilih fabrik semula jadi seperti kapas dan linen, semua helaian dalam koleksi ini sesuai dengan keletah kanak-kanak yang lincah, suka berlari dan bermain.

Pereka Pokoks, Jessica Kim berkata, dia komited untuk menghasilkan pakaian terbaik buat kanak-kanak, seiring perkembangan usia mereka.

“Keistimewaan koleksi jenama ini adalah pada fabriknya. Semua cetakan dihasilkan sendiri pereka dalaman kami, sekali gus menjadikannya eksklusif di mata pemakai. Biarpun cetakan yang dihasilkan ringkas, ia diterima dengan baik oleh pelanggan.

“Kami juga masih mengekalkan penggunaan fabrik kapas dan linen dalam keseluruhan koleksi kali ini untuk memberikan keselesaan kepada pemakai.

“Samping segera dihasilkan sebagai padanan untuk koleksi baju Melayu memandangkan ramai ibu bapa berdepan kesukaran mendapatkan potongan selesa yang diingini.

Selain kanak-kanak, jenama itu turut menawarkan pilihan baju Melayu untuk bayi. Mengambil inspirasi daripada penggunaan jumpsuit keluarannya yang mendapat sambutan menggalakkan, Jessica menambah sedikit perincian untuk dijadikan baju Melayu.

“Kebanyakan pelanggan bersetuju jumpsuit bayi kami selesa untuk anak mereka. Ia berlengan panjang dengan seluar melindungi lutut, sesuai buat bayi yang aktif merangkak dan bertatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:00 AM