NORMAZIANA bersama model, Sharifah Nur Farhana Syed Ahmad Fadzli. FOTO Akma Bakar
NORMAZIANA bersama model, Sharifah Nur Farhana Syed Ahmad Fadzli. FOTO Akma Bakar
Intan Mas Ayu Shahimi

GAYA glamor di karpet merah memang menjadi dambaan ramai wanita. Sekalipun jarang atau tidak pernah mendapat jemputan ke majlis sedemikian, tidak bermakna solekan karpet merah tidak mendapat tempat dalam kalangan mereka yang suka melaram.

Tolak ke tepi soal undangan ke majlis berprestij. Sebenarnya, tema glamor karpet merah bukan setakat untuk majlis anugerah pelakon, penyanyi atau bintang popular saja.

Banyak syarikat korporat mengetengahkan tema sama untuk majlis makan malam atau penghargaan buat kakitangan mereka. Inilah waktu tepat untuk melaram busana sarat perincian batu bergemerlapan atau gaun meleret.

Padanan solekan pula tidak seharusnya terhad kepada gaya smokey dengan campuran rona coklat perang, merah manggis, coklat kemerahan, hitam kelabu, biru gelap, kemilau emas atau hijau zamrud saja.

Solekan pentas perlu dielakkan supaya tema karpet merah tidak tercemar dengan gaya berlebihan. Begitu juga dengan solekan berunsurkan rock metal, malar segar mahupun sentuhan mekap umpama raja sehari. Semua ini perlu ditolak ke tepi.

Kata jurusolek, Normaziana Omar (pemilik Instagram @sygku_anna), solekan karpet merah perlu lebih glamor, elegan dan mewah, namun tidak berlebihan sehingga merosakkan identiti serta gaya yang dibawa.

“Hal paling utama yang perlu dipastikan adalah kesesuaian busana yang hendak dipakai dengan solekan. Kemudian, solekan pula harus dipilih bersesuaian dengan bentuk wajah.

“Kalau merias pengantin, kita biasanya akan menggunakan rutin asas yang lebih terperinci, perlu sapuan pembayang untuk menyerlahkan bentuk muka sempurna, pilihan gincu bersesuaian, semua ini sama.

“Apa yang berbeza adalah konsep. Penggunaan warna kenalah berbeza mengikut tema majlis. Pembayang pipi perlu dilebihkan sedikit, mata harus disempurnakan dengan pemilihan bulu mata bersesuaian dan sebagainya.

“Asas solekan, gunakan semburan pelembap, diikuti primer dan krim untuk kesan mekap kemas sempurna. Bentukkan kening terlebih dulu, diikuti sapuan bedak asas rona sepadan. Kemudian kunci solekan wajah dengan bedak kompak dan semburan wajah,” katanya.

Ikuti langkah solekan seterusnya dengan memberi perincian kepada mata, bentuk wajah dan pilihan warna gincu bersesuaian.

USAI rutin asas solekan, bentukkan kening terlebih dahulu.
USAI rutin asas solekan, bentukkan kening terlebih dahulu.

SAPU bedak asas rona sepadan dan beri perincian pada bawah mata, dagu, tengah hidung dan dahi menggunakan penyamar noda lebih cerah.
SAPU bedak asas rona sepadan dan beri perincian pada bawah mata, dagu, tengah hidung dan dahi menggunakan penyamar noda lebih cerah.

SEMPURNAKAN mata dengan sapuan pembayang rona merah bata, coklat muda dan sedikit coklat gelap. Padankan bulu mata palsu bersesuaian.
SEMPURNAKAN mata dengan sapuan pembayang rona merah bata, coklat muda dan sedikit coklat gelap. Padankan bulu mata palsu bersesuaian.

BENTUKKAN wajah dengan sapuan pembayang di bahagian bawah tulang pipi dan sisi hidung.
BENTUKKAN wajah dengan sapuan pembayang di bahagian bawah tulang pipi dan sisi hidung.

OLES pemerah pipi rona merah jambu dan sedikit merah kekuningan.
OLES pemerah pipi rona merah jambu dan sedikit merah kekuningan.

BIBIR menyerlah dengan sapuan gincu merah jambu yang dicampur sedikit coklat muda.
BIBIR menyerlah dengan sapuan gincu merah jambu yang dicampur sedikit coklat muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:44 AM