NADIRA dan Abdul Rahman sangat dedikasi sebagai juruterbang AirAsia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
NADIRA dan Abdul Rahman sangat dedikasi sebagai juruterbang AirAsia. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Siti Zarinah Sahib

DI sebalik pakaian beruniform yang kemas dan segak, kerjaya juruterbang sering dianggap hebat disebabkan karisma serta cabaran yang perlu dilalui sama ada ketika di akademi latihan mahupun kala menempuh laluan kerjaya sebenar.

Namun di sebalik kerjaya yang sering menjadi impian kebanyakan anak muda dan dipandang tinggi ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi bagi pasangan suami isteri yang kedua-duanya bertugas sebagai juruterbang.

Pasti soalan yang biasa diajukan, tidak takutkah terbang di awan biru meninggalkan pasangan dan masa bersama keluarga pula yang terlalu singkat?

Bertemu juruterbang pasangan suami isteri Kapten Syed Abdul Rahman dan Kapten Nadira Ramli yang bertugas di syarikat penerbangan AirAsia menjawab persoalan sesetengah individu mengenai kerjaya ini yang dilihat berada dalam kelas tersendiri dan dipandang hebat oleh masyarakat.

Bagaikan pasangan dua sejoli, sama cantik sama padan. Penampilan Kapten Syed Abdul Rahman atau mesra disapa Abdul Rahman dan isterinya, Kapten Nadira sering menjadi perhatian.

Mendirikan rumah tangga pada Ogos 2015, hanya selepas setahun berkenalan kedua-dua mereka tidak pernah mengenali di antara satu sama lain tetapi bertemu secara tidak sengaja ketika dalam latihan.

“Nadira juruterbang senior saya, jadi saya mendapatkan nombor telefonnya untuk bertanyakan mengenai latihan.

“Tidak sangka perkenalan yang bermula sebagai rakan akhirnya membuahkan rasa sayang sehingga saya tidak mengambil masa lama untuk mengikat janji setia. Setahun berkenalan kami terus mendirikan rumah tangga,” kata Abdul Rahman.

Katanya, apa yang membuatkan perhubungan mereka mampu bertahan disebabkan kefahaman jelas mengenai masa dan cara bekerja. Masing-masing sudah mengetahui bidang tugas, kesibukan sebagai juruterbang dan cuti yang tidak sama.

Jadi perkara ini membuatkan Syed Abdul Rahman dan Nadira mudah mesra. Persefahaman inilah yang diteruskan selepas mendirikan rumah tangga.

“Mula-mula memanglah kami mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Ada kala seminggu kami tidak bertemu dan bertegur sapa disebabkan jadual kerja tidak sama. Kadang-kadang saya pulang kerja malam, Nadira masih dalam penerbangan. Apabila dia balik saya pula sudah tidur dan apabila saya bangun untuk bekerja isteri pula sudah tidur, begitulah sebaliknya.

“Tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kami tidak berkomunikasi. Sekarang zaman teknologi. Aplikasi WhatsApp dan panggilan video menjadi penghubung setiap hari.

“Kami sentiasa memberitahu keadaan ketika bekerja, lokasi dan juga apa yang berlaku setiap hari. Ini membuatkan kami sangat dekat walaupun hakikatnya berada jauh beribu batu,” katanya.

Bersembang setiap hari

Sebagai juruterbang mereka akur dengan jadual yang sudah disusun pihak pengurusan walaupun ia membuatkan mereka jarang dapat ‘bersua’ walaupun tinggal di bawah satu bumbung. Namun ia tidak bermakna kedua-duanya langsung tidak dapat cuti bersama. Apabila ada peluang bercuti inilah masa untuk merehatkan fikiran dan saling berbincang mengenai masa depan.

KOMUNIKASI merapatkan jurang mereka berdua. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KOMUNIKASI merapatkan jurang mereka berdua. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Biasanya apabila dapat bercuti walaupun hanya dua hari kami akan meluangkan masa pergi ke mana-mana lokasi. Sebagai contoh ke Genting Highlands bagi merehatkan minda. Ketika inilah peluang untuk merapatkan jurang hubungan yang kami tidak peroleh pada hari biasa,” katanya.

Bagi Nadira pula selepas memiliki cahaya mata, jadual bertugas dan peranan mereka turut berubah sepenuhnya. Jika dulu masa dan perhatian diberikan kepada suami kini si kecil Sharifah Emilea pula yang berusia hampir dua tahun mencuri tumpuan.

Akuinya, siapa yang tidak sedih apabila selepas tiga bulan melahirkan anak dia terpaksa meninggalkan si kecil untuk kembali bekerja. Mujur ada keluarga terdekat yang sanggup menjaga anaknya tatkala mereka berdua bekerja.

“Kami sepakat tidak meninggalkan anak di rumah pengasuh atau taska kerana jadual kerja hingga ke malam akan menyukarkan pihak pengasuh dan taska. Ibu pula menawarkan khidmatnya untuk menjaga cucu. Alhamdulillah setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik,” kata Nadira.

Ujar wanita kelahiran Selangor berdarah Sabah ini, oleh kerana kedua-dua mereka bertugas sebagai juruterbang, komunikasi dalam perhubungan adalah sangat penting.

Bayangkan jika seminggu tidak bertemu dan berbual kemudian perkara yang sama berlaku pada setiap minggu serta bulan sudah pasti rumah tangga terasa hambar.

“Jadi cara terbaik agar kami rasa dekat adalah dengan sentiasa ‘update’ apa yang berlaku setiap hari. Saya sentiasa menghantar mesej kepada Abdul Rahman melalui WhatsApp, begitu juga dengan dia. Jadi setiap masa kami tahu situasi pasangan. Ini salah satu cara dapat mengeratkan kasih sayang sesama kami berdua.

“Menariknya di AirAsia kami boleh memilih percutian bersama. Malah jadual percutian boleh dirancang sama ada enam bulan atau setahun ke hadapan. Jadi ia memudahkan kami untuk mengatur program keluarga. Mungkin melancong keluar negara dan membawa Emilea bersama,” katanya.

Sebenarnya jika masyarakat memandang pasangan juruterbang suami isteri sangat sibuk sehingga tiada masa bersama ia tidak benar. Ini kerana semuanya boleh diatur dan dirancang dengan baik. Syarikat pula sangat fleksibel dan memahami asalkan kakitangan menunjukkan prestasi kerja terbaik kepada syarikat.

Realisasikan impian ayah

Memulakan kerjaya juruterbang pada 2008 selepas menamatkan pengajian di Akademi Penerbangan Batu Berendam, Melaka, SyedAbdul Rahman memiliki pengalaman yang cukup menyerlah dan hebat apabila dipilih dalam AirAsia X pada 2011 untuk penerbangan haji serta umrah. Kemudian berada di Brazil selama lima minggu sepanjang Piala Dunia pada 2014.

“Pengalaman yang saya lalui ketika di Brazil sangat mengujakan. Saya terpaksa mengambil kursus khas (MNPS) ketika di sana. Antara negara yang kami lalui termasuk Nigeria, Ecuador dan Colombia.

“Saya juga sempat menonton satu perlawanan bola sepak ketika berada di Brazil. Ia memberikan keseronokan kerana terasa seperti dalam percutian walaupun hakikatnya sedang bekerja,” katanya yang mengakui ketika itu dia belum mendirikan rumah tangga jadi peluang ketika dalam penerbangan digunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman di pelbagai negara.

Disebabkan kebolehan, pengalaman dan dedikasi ditunjukkan Abdul Rahman, dia ditawarkan jawatan sebagai jurulatih penerbangan pada 2016 sehinggalah sekarang.

“Bidang tugas ini juga sesuatu yang berbeza dan sangat mencabar. Saya terpaksa belajar banyak perkara bagi meluaskan pengetahuan mengenai penerbangan. Saya juga perlu bersiap sedia kerana ilmu dalam dunia penerbangan cepat berubah,” katanya.

Mengimbau kenangan lalu, Abdul Rahman yang memiliki darah campuran Arab menjelaskan sejak kecil dia sering menerima kata-kata semangat daripada arwah ayahnya, Datuk Aziz Singah yang ingin dia menjadi juruterbang.

ABDUL Rahman dan Nadira. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ABDUL Rahman dan Nadira. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Pada zaman 50-an memang ayah bercita-cita menjadi juruterbang namun disebabkan tidak mampu impiannya berkubur begitu saja. Apabila saya berpeluang merealisasikan cita-cita ayah ia sesuatu yang cukup menggembirakan. Arwah ayah juga sempat melihat saya memakai pakaian juruterbang sebelum dia menutup mata,” ujarnya bangga.

Pernah melalui pengalaman mendebarkan ketika dalam latihan apabila secara tiba-tiba enjin pesawat mati, ia cukup membuatkan dia panik. Namun Abdul Rahman sedaya upaya menggunakan kemahiran dan prosedur penerbangan sehingga dapat mendarat dengan selamat.

Katanya, sebagai juruterbang mereka sudah dilatih berhadapan sebarang kemungkinan. Sentiasa mengikut prosedur penerbangan dan tidak mudah panik.

“Paling penting kesihatan perlu dijaga. Perlu cukup tidur dan mempunyai emosi yang stabil. Ini kerana juruterbang perlu fokus ketika bertugas. Setiap enam bulan kami perlu menjalani ujian bagi menilai tahap kebolehan dan prestasi sebagai juruterbang,” katanya.

Nadira ikut jejak ayah

Nadira memulakan kerjaya juruterbang pada 2008 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Penerbangan Langkawi, Kedah pada 2007. Ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini, minat sebagai juruterbang bermula selepas melihat dedikasi ayah yang juga juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) bermula daripada kadet sehingga bersara.

“Saya banyak dipengaruhi oleh ayah. Saya melihat cara ayah bekerja yang penuh disiplin. Dia juga mengatur jadual dengan baik. Setiap kali bercuti ayah meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga.

“Saya tidak melihat kerjaya ini sesuatu yang membebankan tetapi sangat ‘enjoy’. Sedikit sebanyak ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi juruterbang suatu hari nanti. Alhamdulillah berkat kesungguhan saya berjaya bergelar pembantu juruterbang selama lima tahun dan kapten juga lima tahun,” ujarnya.

Menurutnya, tidak seperti yang digambarkan mengenai kerjaya ini yang sibuk mengikut jadual penerbangan dan cabaran berhadapan cuaca serta kerenah penumpang, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat Nadira untuk memberikan yang terbaik dalam kariernya.

“Ketika memulakan kerjaya saya gembira kerana walaupun jadual padat tetapi setiap hari masih dapat pulang ke rumah. Ini membuatkan kami tidak tertekan dan gembira ketika bekerja. Tambah pula selepas mendirikan rumah tangga ia juga tidak memberikan masalah kepada saya dan suami merancang serta menguruskan keluarga,” katanya.

Apa yang penting adalah menjaga kesihatan dan mengikut prosedur operasi standard seperti yang ditetapkan AirAsia agar semuanya berjalan lancar.

Menariknya ia bukan hanya tertumpu kepada juruterbang sebaliknya banyak kerjaya dan bidang lain yang boleh diceburi.

“Misalnya membuat kajian mengenai keselamatan atau menjadi jurulatih penerbangan. Kami juga sentiasa menjaga kesihatan dan penampilan bagi mengekalkan lesen sebagai juruterbang. Untuk keluarga pula, saya dan isteri memberi kebebasan kepada anak memilih kerjaya yang mereka minati apabila dewasa nanti. Namun jika anak ingin ‘mewarisi’ kerjaya ini, kami kami sangat bersyukur,” kata Abdul Rahman pada akhir perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:54 PM